11 Tempat Menarik Anda Mesti Lawati di Putrajaya, Bandaraya Pintar Dalam Taman

Putrajaya ialah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999 dan ibu negara pentadbiran Malaysia. Putrajaya adalah sebuah bandar raya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994. Berbanding dengan Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dengan bercirikan budaya tempatan.

Tapak kerajaan berpindah dari Kuala Lumpur ke Putrajaya pada tahun 1999, akibat kesesakan dan kepadatan di kawasan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara Malaysia, menjadi tapak Raja dan Parlimen, termasuk juga pusat perdagangan dan kewangan. Putrajaya merupakan cetusan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad. Pada tahun 2001, Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan Malaysia yang ketiga selepas Kuala Lumpur dan Labuan.

Dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, bandar tersebut terletak dalam Koridor Raya Multimedia, selain Cyberjaya yang baru dibangunkan. Dalam Sanskrit, “putra” bererti “putera” atau “anak lelaki”, dan “jaya” bererti “kejayaan” atau “kemenangan”.

Selain menjadi pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya turut menjadi tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana terdapat pelbagai lokasi menarik yang wajid dikunjungi. Oleh itu, artikel kali ini kami akan kongsikan 11 tempat menarik yang anda perlu lawati di Putrajaya!

11 Tempat Menarik Anda Mesti Lawati di Putrajaya

1) Dataran Putra

Untuk anda yang pertama kali datang ke Putrajaya, lokasi pertama yang anda perlu lawati adalah Dataran Putra. Dataran ini terletak di Presint 1 dan dihiasi dengan lampu dan ciri-ciri air dibahagian tengah sebagai kawasan hiasan.

Dataran ini terbahagi kepada 11 bahagian didalam bentuk bintang berbucu. Signifikasi 11 bucu itu mewakili 11 negeri di Malaya apabila negara mendapat kemerdekaan manakala di bahagian tengahnya terdapat bintang berbucu 13 menandakan 13 negeri yang membentuk Malaysia dan juga bintang 14 bucu pula untuk mewakili Wilayah Persekututan.

Dataran ini dikelilingi oleh bangunan Perdana Putra, Masjid Putra, Jambatan Putra dan Persiaran. Anda bolehlah datang bergambar di kawasan dataran ini. Ramai juga pengunjung datang lepak dan bersantai di waktu malam dekat dataran ini!

Lokasi : Dataran Putra, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

2) Astaka Morocco

VIA ILLASHANAHILA

Anda teringin ke Maghribi untuk melihat seni bina dan juga bergambar disana? Tidak perlu kerana di Putrajaya sendiri terdapat binaan yang cantik dan indah iaitu di Astaka Morocco. Astaka Morocco ini terletak di Taman Botani Putrajaya.

Untuk pengetahuan anda, seni bina replika Astana Morocco itu serupa dengan yang terdapat di Marrakesh dan ia dibina atas pertukaran budaya antara Malaysia dan Maghribi. Seni bina di Astaka Morocco ini sungguh memukau pandangan. Di dindingnya terdapat timbul khat ayat suci al-Quran dan juga beberapa motif lain seperti tumbuh-tumbuhan.

Selain pintu gerbang dan dinding dipenuhi ukiran menarik, daun pintu diukir indah. Di setiap pintu bilik pameran mewakili lapan bandar atau kota di Maghribi seperti Fez, Rabat, Essaouira, Rif Atlas, Marrakesh dan Meknes. Dilengkapi perabot, permaidani, barang perhiasan, lukisan, pasu dan senjata menggambarkan kreativiti penduduknya.

Astaka ini mengambil masa dua tahun pembinaannya. Paling menarik semua bahan binaan termasuk simen dan kapur khas, marmar atau jubin didatangkan khas dari Maghribi. Termasuk pekerja untuk membinanya juga datang dari negara Afrika Utara itu, bagi memastikan keaslian seni binanya.

Lokasi : Presint 1, 62000 Putrajaya
Harga Tiket Masuk : Dewasa RM3 | Kanak-Kanak RM1

3) Monumen Millennium

VIA MILLINIUM MONUMENT

Monumen Millennium atau juga dikenali dengan nama Monumen Alaf Baru ini terletak di Presint 2, Putrajaya, Malaysia. Ia merupakan monumen negara yang pertama dibina khas untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya. Di bawah tugu ini telah ditanam oleh Tun Dr Mahathir, semasa menjadi Perdana Menteri, kapsul masa yang akan dikeluarkan pada tahun 2020.

Ketinggian Menara Tugu Milenium adalah 68 meter. Jalan naiknya berbentuk pelantar tinjau ala beranda yang dibahagikan kepada 4 pecahan yang bersambung iaitu bagi menggambarkan era Malaysia pra kemerdekaan (sebelum tahun 1957), pasca merdeka (1957-1970), Malaysia kini (1971-2020) dan Malaysia akan datang pada tahun 2020 dan ke atas.

Dilihat dari atas, menara ini seakan-akan membentuk bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya yang berwarna emas berkemilauan. Di pelantar tertinggi, pengunjung dapat melihat bangunan berhampiran seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Wawasan.

Pada waktu malam menara tugu yang diperbuat dari aluminium ini akan memancarkan cahaya terang ibarat rumah api yang membuatkan ia tampak lebih eksklusif dan indah. Anda bolehlah datang ke Monumen Millennium ini untuk bergambar dan juga menyaksikan keindahan Putrajaya.

Lokasi : Lebuh Ehsan, Presint 2, 62100 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

4) Cruise Tasik Putrajaya

VIA PUTRAJAYA HOLIDAY

Jika anda perasan, di Putrajaya terdapat sebuah tasik yang luas dan mempunyai pemandangan yang menarik. Tasik Putrajaya yang terletak di tengah-tengah Putrajaya itu adalah seluar 650 hektar! Anda bolehlah mencuba menaiki cruise atau pelayaran persiaran untuk melihat pemandangan Putrajaya yang cukup memukau pandangan.

Hanya melalui perspektif unik dari perairan tasik ini seseorang boleh melihat dan mengalami pemandangan menakjubkan ke atas Putrajaya. Anda boleh membuat pilihan di antara dua kaedah pengangkutan apabila mengambil Pelayaran Persiaran Tasik Putrajaya iaitu melalui bot persiaran penumpang atau perahu berupa gondola yang dibentuk seperti perahu tradisi Melayu.

Kumpulan perahu ini menawarkan perjalanan yang lebih seronok dan sesetengah orang berpendapat ia adalah cara yang lebih romantik untuk melihat Putrajaya. Perahu-perahu yang terbuka itu mempunyai bentuk-bentuk yang unik – payang dan kolek dengan muatan 4 atau 6 orang, masing-masing dikendalikan oleh seorang pengendali bot.

Pelayaran Persiaran Tasik Putrajaya juga menyediakan “Pengalaman Makan Malam dengan Kelainan” dengan DAUN, iaitu bot mewah persiaran makan malamnya. DAUN dilengkapi dengan perhiasan tempat makan bertaraf 5-bintang, cuma istimewanya tempat ini ialah pemandangannya berubah-ubah.

Anda boleh mendapatkan perkhidmatan terbaik apabila makan malam di atas DAUN. Pengalaman majlis makan yang begitu hebat dan pada masa yang sama menikmati pemandangan pelbagai seni bina yang terdapat di Putrajaya.

DAUN yang boleh mengambil hanya kumpulan eksklusif kecil seramai 36 penumpang adalah sesuai untuk majlis persendirian dan korporat di mana perjalanan persiaran dengan makan tengah hari, minuman teh, koktail atau makan malam boleh ditempah atau untuk membuat persidangan di atasnya.

Tetamu makan malam DAUN juga akan diberi minuman selamat datang dan kanopi di Ruang Isitirahat Diner’s yang eksklusif di Pelayaran Persiaran Tasik Putrajaya sebelum menaiki bot untuk pelayaran dan makan malam. Sememangnya suatu pengalaman yang eksklusif dan menarik sekiranya anda mencuba pengalaman Cruise Tasik Putrajaya!

Lokasi : Presint 1, 62000 Putrajaya
Laman Web : Cruise Tasik Putrajaya


5) Masjid Putra

VIA MYROKAN

Kalau anda sudah ke Dataran Putra, pastinya anda akan melihat sebuah masjid yang cukup indah, tersergam cantik bersebelahan dengan Dataran Putra tersebut. Itulah Masjid Putra. Masjid ini merupakan antara mercu tanda dan simbolik dengan Putrajaya.

Masjid ini telah dibina pada tahun 1997 dan siap pada tahun 1999. Ia dinamakan sebagai Masjid Putra sempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.Sebahagian besar kawasan masjid dikelilingi oleh tasik, menjadikan masjid ini kelihatan terapung-apung di atas air seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah di Terengganu dan Masjid Tanjung Bunga di Pulau Pinang. Bezanya kedua-dua masjid ini dibina berhampiran dengan laut, manakala Masjid Putra dikelilingi oleh tasik.

Lokasi : Persiaran Persekutuan, Presint 1, 62502 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

6) Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

VIA DEVIANART

Satu lagi masjid yang anda bakal lihat di Putrajaya adalah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Besi dan ia terletak di Presint 3, Putrajaya. Masjid ini telah dibina sejak tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada tahun 2009.

Masjid ini dibina bagi menampung sekitar 24,000 penduduk dan penjawat kerajaan sekitar pusat bandar serta kawasan Presint 2, 3, 4 dan 18. Masjid ini yang mempunyai keluasan sekali ganda berbanding Masjid Putra, yang terletak kira-kira 2.2 km ke utara, menjadi mercu tanda baru Putrajaya. Dari arah kompleks kerajaan, perjalanan menuju ke masjid akan menyeberangi sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid ini yang dikenali sebagai Kiblat Walk seluas 13,639 m².

Jejantas ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Alhambra. Hiasan dalamannya dilatari ukiran Asmaul Husna menggunakan tulisan kaligrafi daripada jenis Khat Thuluth. Pintu utama menuju ke ruang solat utama terukir ayat suci al-Quran daripada Surah Al-Israa’ ayat ke-80. Jadi jangan lepaskan peluang untuk datang ke kedua-dua masjid yang sangat cantik ini di Putrajaya!

Lokasi : 25, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Presint 3, 62100 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

7) Taman Botani Putrajaya

VIA NAMAKUCELLA

Lokasi berikutnya yang anda boleh lawati di Putrajaya adalah Taman Botani Putrajaya. Taman Botani Putrajaya ini telah dianugerahkan sebagai Taman Paling Menakjubkan di Asia oleh Yayasan Chelsea Diraja, London di Pameran Bunga Perdana Premier Dunia Chelsea pada 2008. 

Disini jugalah terletak Astaka Morocco dibina bercirikan warisan Maghribi dan kesenian senibinanya diinspirasikan  dari bandar Dirajanya seperti Fez, Meknes, Marrakech dan Rabat. Taman Etnobotani yang merupakan tarikan terkini untuk bersantai dan berpeluang mengenali banyak tumbuhan yang menarik. Etnobotani merujuk kepada kajian interaksi antara manusia dan tumbuhan yang melibatkan pelbagai aspek perubatan, sumber makanan, ekonomi dan budaya.

Taman ini dibahagikan kepada lapan tema botani iaitu Malaysian Ulam and Medicinal, Bambusetum, Zingiberales, Edible Fruit Arboretum, Lawn and Gramineae, Forest Fringe and Aboriginal Medicinal Plants, Conservatory and Ecological Pond. Keindahan taman ini terletak di kawasan hijau yang menghadap tasik menjadikan pengunjung terpesona melalui unsur-unsur kebudayaan yang digabungkan dalam reka bentuk seperti wakaf tradisional, lampu taman bermotifkan bunga dan label saintifik tumbuh-tumbuhan.

Lokasi : Lebuh Perdana Barat, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Selasa (9.00 pagi – 5.00 petang)

8) Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya PICC

VIA LAI-JOURNEYOFLIFE

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya International Convention Centre (PICC), merupakan sebuah pusat konvensyen utama di Putrajaya, Malaysia. Bangunan ini terletak di atas bukit buatan di Presint 5. Bangunan ini telah dibina dari tahun 2001 hingga September 2003. Persidangan pertama yang telah dilangsungkan disini ialah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang ke-10 dalam tahun yang sama pada bulan Oktober.

Sejak Oktober 2004, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya secara rasmi dikenali sebagai Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi memberi gambaran bahawa ia setanding dengan pusat-pusat persidangan antarabangsa yang lain seperti di London, Tokyo dan Paris. Ia juga merupakan mercu tanda terkenal di bandar ini, yang juga merupakan idea daripada Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad

PICC meliputi kawasan seluas 135,000 meter persegi, atau kira-kira 1.3 juta kaki persegi. Idea reka bentuk bangunan yang unik ini dan menarik ini adalah berdasarkan bentuk ‘Pending Perak’, iaitu reka bentuk kepala tali pinggang pakaian rasmi Yang di Pertuan Agong .

Lokasi : Jalan P5, Presint 5, 62200 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

9) Jambatan Seri Wawasan

VIA INFO JELITA

Mercu tanda berikutnya di Putrajaya adalah Jambatan Seri Wawasan. Sebuah jambatan unik dan merupakan sebuah jambatan tambatan kabel yang menjadi satu mercu tanda di Putrajaya. Sebagai penghubung utama di antara Presint 2 dengan Pulau Utama dan kawasan kediaman Presint 8, Jambatan Seri Wawasan menjadi penghubung yang penting  ke Presint Pembangunan Bercampur.

Jambatan konkrit ini ialah kombinasi gantungan kabel dan struktur berikat keluli. Ia mempunyai jalan raya dua hala tiga lorong selebar 18.6m masing-masing terdiri dari 3 x 3.5m lebar jalan, 0.5m bahu jalan dan 0.5m garisan tengah. Lebar pembahagi jalan ialah 4m manakala lorong pejalan kaki dan trek basikal pula 5.1m menjadikan lebar keseluruhan 37.2m di bahagian tengah jambatan.

Anda bolehlah melihat jambatan ini terutamanya diwaktu malam yang bercahaya indah dengan warna lampu-lampu yang cukup menarik!

Lokasi : Lebuh Wawasan, Presint 2, 62100 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

10) Taman Saujana Hijau

VIA MALAYSIA TRAVELLER

Lokasi berikutnya adalah Taman Saujana Hijau. Taman ini dikelilingi oleh tumbuhan gymnosperma seperti pokok pine, juniperus, thuja dan banyak lagi. Keluasan Taman Saujana Hijau ini adalah sekitar 47 hektar!

Terdapat 3 bustan (taman) yang berbeza dibina pada setiap bahagian / bukit yang ada di taman ini iaitu Bustan Inggeris, Bustan Oriental dan Bustan Eropah. Ketiga-tiga bustan ini terdapat wakaf yang dibina bercirikan setiap bustan iaitu rekabentuk Inggeris, China, dan Eropah.

Ramai pengunjung datang ke sini sama ada untuk beriadah bersama keluarga, sesi pengambaran dan juga bersantai-santai melihat pemandangan Putrajaya. Sedikit tips untuk anda, datanglah awal ke taman ini kerana ketika pukul 11 pagi, cuacanya sudah panas terik! Oh ya, tiket masuk adalah Percuma!

Lokasi : Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Waktu Operasi : Setiap Hari (7.00 Pagi – 7.00 Petang)

11) Kompleks Nasyrul Quran

VIA WILAYAHKU.COM

Tahukah anda di Putrajaya terdapat sebuah pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia? Kompleks Nasyrul Quran ialah sebuah pusat percetakan al-Quran yang beroperasi di Malaysia. Ia merupakan pusat percetakan al-Quran yang kedua terbesar di dunia selepas Pusat Percetakan al-Quran al-Malik Fahd. Kompleks ini dibangunkan di atas tanah seluas 5.514 ekar di Presint 14, Wilayah Persekutuan Putrajaya Kompleks ini menyasarkan percetakan sejuta naskhah al-Quran setahun dan 30 peratus daripadanya akan diwakafkan di negara-negara Islam yang kurang berkemampuan dan negara yang mempunyai penduduk minoriti Islam.

Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM60 juta bagi tujuan pembinaan dan pembelian mesin cetak yang dibantu oleh Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kompleks ini dibina demi pelaksanaan cita-cita murni Negara bagi memiliki sebuah pusat pengeluaran al-Quran bertaraf antarabangsa dan kedua terbesar di dunia.

Lokasi : Kompleks Percetakan Al-Quran, No. 1, Jalan P14, Presint 14, 62050 Putrajaya
Laman Web : Nasyrul Quran

AKHIR KATA

Putrajaya sememangnya sebuah bandar yang sungguh indah, penuh dengan lokasi-lokasi pelancongan menarik untuk anda datang bersama keluarga. Melihat binaan dan struktur bandar ini pastinya membuatkan anda merasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Datanglah bercuti di Putrajaya, singgah di lokasi-lokasi ini dan abadikan kenangan anda melalui gambar-gambar yang cantik! Semoga perkongsian kali ini dapat membantu anda untuk merancang percutian di Putrajaya! Selamat bercuti-cuti Malaysia di Putrajaya!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *