Apa Yang Menarik di Negeri Perlis Indera Kayangan?

Dengan keluasan 810 kilometer persegi, negeri Perlis Indera Kayangan merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Bersempadan dengan negeri Kedah di sebelah selatan, manakala negara Thailand di sebelah utara. Kangar merupakan ibu negeri bagi negeri Perlis manakala Arau adalah bandar diRaja.

Ekonomi negeri ini didominasi oleh pertanian, terutamanya beras, gula dan buah-buahan seperti buah mangga Harum Manis. Perhutanan dan perikanan juga merupakan industri yang dijalankan di negeri ini.

Pasti ramai yang ingin ketahui apa yang menarik di negeri Perlis Indera Kayangan ini, oleh itu artikel kali ini kami akan kongsikan kepada anda apa yang menarik di sekitar negeri Perlis dan jangan terkejut kerana banyak lokasi menarik dinegeri Perlis ini ya! Jemput baca ya.

Apa Yang Menarik Di Negeri Perlis Indera Kayangan?

1) Galeri Diraja Arau

Galeri DiRaja Arau telah disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis pada 4 Mei 2005 bersamaan 25 Rabiul Awal 1426 Hijrah yang pada ketika itu merupakan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Ke 12. Aras bawah bangunan ini menempatkan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis. Manakala di tingkat atasnya pula menyaksikan koleksi-koleksi Almarhum Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Raja Syed Saffi, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail tersergam indah.

Galeri Diraja Arau Perlis bukan mudah untuk siapa-siapa masuk, anda perlu membuat permohonan dulu baru dapat melangkahkan kaki ke dalamnya. Apabila anda berjaya masuk ke galeri ini, anda akan dapat melihat pameran salasilah serta sejarah keturunan Diraja Perlis, alat kebesaran Diraja, senapang antik, pedang, duit lama, basikal antik, bunga emas dan banyak lagilah.

Tapi yang paling menarik perhatian adalah kain kiswah yang merupakan kelambu kaabah yang diberikan oleh pemerintah Arab Saudi kepada Sultan Perlis pada tahun 1965. Bawalah keluarga anda ke sini untuk satu peluang yang bukan mudah dimiliki oleh orang lain.

Lokasi : Arau, 02600 Arau, Perlis

2) Gua Kelam

VIA GUA KELAM

Lokasi berikutnya adalah Gua Kelam. Gua Kelam merupakan salah satu tempat yang popular di negeri ini. Merupakan sebuah gua batu kapur, gua ini terletak di pinggir pekan Kaki Bukit iaitu sekitar 33 kilometer dari utara bandar Kangar.

Terdapat sebuah terowong semula jadi sepanjang 370 meter di dalamnya. Jambatan gantung di dalamnya menjadi tarikan pelancong. Air yang yang mengalir di dalamnya mengalir ke Sungai Perlis.

Gua Kelam dahulunya terkenal dengan lombong bijih yang menghasilkan bijih yang bermutu tinggi. Gua ini juga pernah menjadi jalan penghubung antara penduduk Wang Kelian dan Kaki Bukit. Gua ini dinamakan sebagai Gua Kelam kerana keadaannya di mana kedudukannya di kaki bukit dan suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini.

Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris menyedari bahawa laluan sungai di sini adalah cara yang baik untuk mengangkut bijih timah dari sebuah lombong berhampiran sungai ini menerusi gua bawah tanah ke Kaki Bukit. Kini pelawat tempatan dan asing boleh berjalan menerusi gua ini menggunakan sebuah laluan kayu yang diterangi cahaya lampu.

Lokasi : Kaki Bukit, 02200 Kaki Bukit, Perlis

3) Gua Wang Burma

VIA PERLISPOWERCYCLINGCLUB

Gua berikutnya adalah Gua Wang Burma yang juga merupakan salah satu gua yang popular di negeri Perlis ini. Gua ini merupakan sebuah gua batu kaput yang terpanjang di semenanjung Malaysia iaitu sepanjang 3.8 kilometer. Terletak kira-kira 42 kilometer daripada ibu negeri Perlis, gua ini menjadi tumpuan bagi mereka yang gemarkan aktiviti meneroka gua.

Gua Wang Burma ini terletak di Banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia yang menjadi sempadan bagi Malaysia dan Thailand. Nama Wang Burma pula diperoleh daripada gabungan dua nama. Perkataan ‘Wang’ berasald ari perkataan Siam yang memberi maksud lembah manakal ‘Burma’ pula merujuk kepada penduduk asal yang membuka penempatan di sini iaitu orang Burma.

Untuk sampai ke kawasan Gua Wang Burma ini, perkara pertama yang anda harus lakukan adalah untuk pergi ke Taman Negeri Perlis dan bertemu dengan renjer yang bertugas. Sedikit yuran akan dikenakan dan renjer atau pemandu arah bagi aktiviti meneroka gua ini akan mengendalikan kumpulan anda mengembara ke Gua Wang Burma.

4) Taman Negeri Perlis

VIA MAJALAHSAINS

Lokasi seterusnya adalah Taman Negeri Perlis. Taman ini terletak di kawasan banjaran batu kapur terpanjang di negara ini, yang digelar Banjaran Nakawan. Banjaran Nakawan memiliki cerun berhutan tebal, permukaan cenuram menegak, anak sungai dan sistem gua yang luas serta cantik.

Beberapa tarikan utama di Taman Negeri Perlis termasuk Gua Kelam dan Gua Wang Burma yang terletak di dalam kawasan Setul. Di situlah terdapat pembentukan batu kapur berusia 500 tahun di sana. Taman ini terdiri daripada Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu dengan jumlah keluasan keseluruhan kira-kira 5000 hektar. Taman ini adalah tempat tinggal bagi hidupan seperti monyet dan terdapat tumbuhan seperti halia, paku-pakis dan tanaman balsam.

Pelawat boleh tinggal di hostel dan chalet atau berkhemah di kawasan yang disediakan. Sesiapa yang mahu melawat diperlukan untuk mendapatkan kebenaran dari pihak pengurusan Taman Negeri Perlis dan mendapatkan khidmat renjer atau pemandu arah yang layak.

5) Tasik Timah Tasoh

VIA TASIK TIMAH TASOH

Tasik Timah Tasoh merupakan sebuah tasik buatan manusia yang siap dibina pada tahun 1992 hasil pembentukan empangan. Ia mendapat namanya daripada dua batang sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Pembinaan tasik ini bermula pada tahun 1987 dan kos keseluruhannya adalah RM67 juta.

Tasik ini berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk Perlis, memberi pengairan sawah padi yang lebih baik dan juga mencedah masalah banjir di negeri Perlis. Tasik ini juga dapta menampung sekitar 35.3 juta liter air pada satu-satu masa.

Tasik Timah Tasoh yang memukau ini juga merupakan tempat perlindungan burung=burung yang berhijrah terutama dari negara-negara sejuk kerana tasik air tawar ini bersama persekitaran semula jadi menyediakan makanan dan tempat tinggal yang sangat diperlukan untuk burung-burung ini.

6) Bukit Keteri

VIA HOURGLASS

Terletak 30 minit dari Kangar, Bukit Keteri merupakan destinasi rock climbing yang terkenal di Asia. Memiliki banyak laluan yang boleh dipilih untuk sampai ke puncak, tapi tidak bermakna ianya mudah didaki, Bukit Keteri ini sebenarnya salah satu daripada laluan pendakian yang paling mencabar di Asia.

Semua kesukaran yang dilalui sewaktu mendaki untuk sampai ke puncak bukit ini ternyata berbaloi-baloi, kerana sesiapa yang berjaya sampai ke puncak akan disajikan dengan panorama indah terutama sekali ketika waktu matahari terbenam.

Lokasi : Bukit Keteri, Chuping, Perlis

7) Masjid Alwi

VIA MASJID ALWI

Masjid Alwi Kangar adalah salah satu daripada mercu tanda syiar Islam di Negeri Perlis. Masjid Alwi Kangar telah dibina pada tahun 1931 dengan perbelanjaan sebanyak RM 64, 684.00. Dana bagi perbelanjaan ini diperoleh melalui kutipan wang Zakat dan Fitrah, derma dari pegawai-pegawai kerajaan yang beragama Islam dan saudagar-saudagar Islam serta peruntukkan dari Kerajaan Negeri Perlis.

Usaha-usaha mengumpulkan dana bagi membangunkan sebuah masjid di Kangar telah dijalankan semenjak tahun 1920an lagi, dan pembinaanya telah dimulakan semenjak perkhidmatan Mr. M. C Hay dahulu. Namun semasa perkhidmatan Mr. O. E Venables barulah masjid tersebut siap dibina iaitu pada Febuari 1933.

Ianya telah dibuka dengan rasminya oleh Almarhum Tuanku Syed Alwi Ibni Almarhum Tuanku Syed Safi Jamalilail pada 14 Syawal 1351 Hijrah bersamaan 10 Febuari 1933. Masjid yang begitu indah ini telah dinamakan sebagai “Masjid Alwi” iaitu sempena nama Raja Negeri Perlis ketika itu iaitu Almarhum Tuanku Syed Alwi Jamalullail.

Masjid Alwi juga telah didaftarkan sebagai Warisan di bawah akta warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan diluluskan oleh Dato’ Profesor Emeritus Zuraina Majid (Pesuruhaya Warisan 2008) dari Jabatan Warisan Negara di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia.

Sehingga kini, Masjid Alwi masih digunakan dan menjadi antara masjid utama di Negeri Perlis. Pelbagai program pengimarahan dan kemasyarakat seperti Kuliah Mingguan Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Program Perkampungan Sunnah dan lain-lain dilaksanakan dengan sebaiknya.

Lokasi : Pusat Bandar Kangar, 01000 Kangar, Perlis

8) Taman Anggur Perlis

VIA RESEPISARI

Taman Anggur Perlis ini diselenggarakan dan diuruskan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis di bawah Kementerian Pertanian. Pasti anda pelik macam mana penanaman anggur boleh ada di Malaysia. Sebenarnya, negeri Perlis merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai iklim yang paling sesuai untuk menanam pokok anggur. Ini kerana iklim di Perlis ini agak berlainan daripada negeri lain.

Secara semulajadinya, pokok anggur memerlukan iklim yang kemarau 3-4 bulan, baru boleh berbunga dan berbuah. Dan disebabkan memang Perlis iklimnya sebegitu, maka sebab itulah pokok anggur ini boleh tumbuh dengan segar bugarnya di sini. Antara yang anda boleh lakukan disini semestinyalah melihat pokok anggur, membeli buah anggur di kaunter pintu masuk (RM 10/500g) dan rasai pengalaman makan buah anggur yang segar dari ladang.

Selain itu anda juga boleh belajar bagaimana proses dari memetik buah anggur sehinggalah ke proses mengasingkan buah yang berlainan grade serta proses pembungkusannya. Bagi mereka yang nak cuba menanam pokok anggur di rumah, di sini juga ada menjual anak pokok anggur.

Lokasi : R119, Kampung Lembah Tuwi, 01000 Kangar, Perlis
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Isnin (9.00 pagi – 6.00 petang)
Harga Tiket : Dewasa RM3 | Kanak-Kanak RM1

9) Rimba Herba Perlis

VIA HOMESTAY PERLIS

Lokasi seterusya adalah Rimba Herba Perlis. Rimba Herba Perlis merupakan sebuah kawasan seluas 12 hektar dan terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Bintang. Rimba Herba ditubuhkan oleh JPNPs pada tahun 1998 dan dibuka kepada orang awam pada tahun 1999. Taman ini kini berfungsi sebagai “muzium etnobotani” dan bank genetik bagi kebanyakan sumber tumbuhan herba yang boleh didapati di negara ini.

Antara lain tujuan penubuhan taman ini adalah untuk memperkenalkan tumbuhan tempatan yang mempunyai nilai perubatan kepada masyarakat setempat.Tumbuhan ubatan yang terdapat di sini ialah Tongkat ali, Kacip fatimah, Cekor, Mengkudu dan lain-lain lagi. Sesetengah tumbuhan di sini merupakan tanaman yang biasa ditemui di sekeliling rumah,tetapi mempunyai nilai perubatan seperti Bunga raya, Bunga tahi ayam, Senduduk, Pokok kapal terbang, Sireh, Kesom, Pinang dan sebagainya.

Rimba Herba berpotensi sebagai “muzium hidup” yang mempamerkan tumbuhan herba tempatan di mana taman ini sangat sesuai dijadikan destinasi kunjungan utama bagi mereka yang ingin mengenali dan mengetahui jenis dan kegunaan tumbuh-tumbuhan tempatan yang mempunyai nilai perubatan. Melalui pengalaman melihat, menyentuh dan menikmati hasil produk tumbuhan herba, secara tidak langsung pelawat-pelawat akan mendapat pengetahuan dan kesedaran tentang kelebihan tumbuhan-tumbuhan herba yang terdapat di negara kita.

Antara kemudahan yang ada ialah laluan interpretasi, tandas, wakaf, bangku rehat beserta meja, ruang taklimat, pusat informasi, kiosk cenderahati serta pusat jualan tumbuhan dan produk herba. Taman ini juga turut dilengkapi dengan panel-panel interpretasi untuk memberi maklumat kepada pengunjung.

Antara aktiviti menarik yang boleh dijalankan adalah lawatan berpandu dan lawatan pandu sendiri ke denai alam, rendaman kaki dalam minyak herba, lawatan ke laman orkid dan jualan pokok terutamanya produk herba. Selain daripada itu, pengunjung juga boleh menikmati urutan minyak herba dan mencuba minuman herba yang ditawarkan di sini.

Lokasi : Rimba Herba Perlis, Kangar, Perlis
Waktu Operasi : Setiap Hari (8.00am – 5.00pm) |Jumaat Tutup Sementara Dari 12.15pm – 2.45pm)
Harga Tiket : Dewasa RM1 | Kanak-kanak & Pelajar RM0.50

10) Taman Ular dan Reptilia Perlis

VIA 1001PERJALANAN

Lokasi berikutnya adalah Taman Ular dan Reptilia. Taman Ular dan Reptilia ini antara lokasi popular di negeri Perlis. Ia adalah sebuah tempat pelancongan yang terletak di Kangar, negeri Perlis, Malaysia. Terdapat lebih 150 ekor ular daripada 34 spesies di taman ini, dengan 25 spesies ular tempatan dan sembilan spesies luar negara, seperti ular Sawa, ular Tedung Selar dan ular Kapak.

Terdapat juga haiwan lain seperi biawak air, iguana dan buaya tembaga. Taman ini ialah taman ular yang terbesar di Asia Tenggara. Taman ini bermula sebagai sebuah pusat penyelidikan yang dibangunkan Kementerian Kesihatan pada 1978 bagi menghasilkan penawar bisa ular. Ia kemudian diambilalih oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis dan dikomersialkan sebagai tarikan pelancongan.

Lokasi : Taman Ular Sungai Batu Pahat, 02400 Kangar, Perlis
Waktu Operasi : Setiap Hari (9.00 Pagi – 5.00 Petang)

11) Masjid Al Hussain

VIA FLICKR

Masjid Al Hussain, Kuala Perlis merupakan suatu binaan masjid terapung yang dibina berhampiran Jeti Kuala Perlis, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia. Masjid ini telah dibina di tepi pantai Kuala Perlis menghadap laut Selat Melaka. Ia telah dibina hasil sumbangan seorang ahli perniagaan, Tan Sri Mohd. Ariffin Yusuf dan dibuka pada tahun 2011.

Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis ini mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan dengan kos kira-kira RM 12 juta. Sebahagian daripada binaannya menganjur ke laut Selat Melaka. Resort tropika moden ialah tema seni bina yang ditonjolkan menerusi sentuhan artistik pada masjid itu. Konsep tersebut telah diterjemahkan pada laman dan suasana santai menerusi persekitaran masjid tersebut.

Menariknya Masjid yang menjadi ikon baru Kuala Perlis itu telah diilhamkan Raja Muda Perlis, iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail. Abang kepada Ariffin, Datuk Dr. Mohd. Hussain meninggal dunia pada tahun 1999 sebelum sempat dia menunaikan hajat untuk membina sebuah masjid. Oleh kerana itulah selepas siap dibina, masjid itu dinamakan sempena nama abangnya itu.

Sebuah wakaf didirikan di dataran masjid. Para jamaah dan pengunjung juga boleh berehat di sepanjang tembok sambil menghadap ke laut. Tiga batang pokok kurma yang didatangkan khas dari Tanah Arab menyuntik elemen Asia Barat di laman masjid. Ciri luaran utama Masjid Al Hussain ialah kubahnya yang berwarna kuning keemasan beserta motif biru yang sinonim dengan warna rasmi negeri Perlis.

Lokasi : 1, Persiaran Putra Timur, 02000 Kuala Perlis, Perlis


12) Muzium Kota Kayang

VIA MUZIUM KOTA KAYANG

Lokasi terakhir dalam senarai ini adalah Muzium Kota Kayang. Muzium Kota Kayang terletak bersekitaran Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang. Muzium Kota Kayang di Kuala Perlis merupakan satu kompleks sejarah yang popular di Perlis. Muzium ini menawarkan pelbagai maklumat mengenai sejarah Perlis. Terdapat pameran tinggalan akhaeologi dan sejarah dari kapak batu Neolithik, senjata, barangan tembaga, siling, replika dokument, dan carta keturunan diRaja.

Pelancong juga dapat melawat laman muzium di mana terdapat tapak Kota Indera kayangan, istana, dan dewan istiadat silam. Muzium Kota Kayang terletak di kaki bukit batu kapur yang bertindak sebagai halangan dari serangan musuh, sementara terdapat terusan yang pernah menjadi laluan bot antara Kota Kayang, Kuala Perlis, dan Alor Setar.

Terdapat tiga galeri iaitu galeri am yang mempamerkan kronologi pembinaan Kota Kayang, peralatan harian golongan bangsawan di Perlis, galeri arkeologi yang mempamerkan hasil penyelidikan Kota Kayang dan sekitar negeri Perlis serta galeri Kedah / Perlis yang mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad s.a.w dan replika bunga emas, kesan pendudukan penjajah dan pelbagai koleksi yang menarik.

Lokasi : Muzium Kota Kayang, 02000 Kuala Perlis, Perlis
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Isnin (9.00 pagi – 5.00 petang)
Harga Tiket : Percuma

Akhir Kata

Walaupun terletak nun jauh di utara semenanjung Malaysia, negeri Perlis yang bersaiz kecil ini juga tidak kurang hebatnya dari segi lokasi pelancongan yang menarik. Pelbagai jenis pelancongan tersedia disini dan menanti kunjungan anda.

Jangan lupa untuk singgah ke lokasi-lokasi yang tersenarai ini ketika percutian anda bersama keluarga atau rakan-rakan. Semoga artikel ini dapat memberikan anda maklumat untuk kedatangan anda ke negeri Perlis.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *