Arca Dasar Laut Jadi Tarikan Terbaru di Langkawi

PULAU LANGKAWI kini menjadi destinasi pelancongan popular yang tidak hanya tertumpu pada pelancong tempatan, malah pelancong asing dari serata dunia. Keindahan dasar laut dan pulau-pulau kecil di sekitar Langkawi juga menarik perhatian penyelam skuba melakukan aktiviti.

Tarikan baharu di pulau legenda ini sudah tentulah Arca Dasar Laut yang berkonsepkan mitos dan legenda, yang dilabuhkan ke dasar laut di perairan Pulau Pasir. Pelbagai arca berkonsepkan mitos serta legenda yang dilabuhkan ke dasar laut di perairan Pulau Pasir, di sini, kini muncul sebagai produk pelancongan baharu di pulau peranginan ini.

ARCA DASAR LAUT

Ihsan Gambar Balai Seni Negara

Arca Dasar Laut yang merupakan sebahagian daripada Program Pelancongan Berasaskan Komuniti, dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada 23 Julai lalu.

Beliau berkata sebanyak 14 Arca Dasar Laut (ADL) yang dihasilkan sembilan seniman tempatan, telah dilabuhkan di sekitar pulau itu pada 2 Jun lalu.

“Ia sebahagian daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (PBK) yang dianjurkan Balai Seni Negara dalam usaha memperkasakan ekosistem seni dan pelancongan negara.

“Malah, ADL ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai arca dalam air yang terbanyak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program PBK ADL di Pangkalan Kubang Badak.

Program pelancongan berasaskan komuniti di  Pengkalan Kubang Badak itu adalah salah satu usaha bagi memperkasa ekosistem seni dan pelancongan negara.

“Arca dasar laut ini adalah elemen visual baharu dalam penciptaan konten dan kehebatan cerita tentang mitos serta legenda Langkawi dengan kerjasama pengarca dan pelukis bersama komuniti setempat.

“Reka bentuk dan bahan yang digunakan menjadi perumah baharu kepada ekologi marin seterusnya mewujudkan jaringan kelestarian kepada kehidupan marin, komuniti setempat serta pelancongan Langkawi,” katanya semasa majlis perasmian program itu di Pengkalan Kubang Badak.

Arca dasar laut merupakan elemen visual baharu dalam penciptaan konten dan kehebatan cerita tentang mitos legenda Langkawi dengan hasil kreativiti penggiat seni tempatan.

Dianjurkan oleh Balai Seni Negara, Program Pelancongan Berasaskan Komuniti Arca Dasar Laut ini merupakan salah satu usaha memperkasakan ekosistem seni dan pelancongan negara.

Program ini juga mendapat kerjasama Marine Research and Excellent Centre (MAREC) UiTM Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi.

Selain itu, program ini juga telah mendapat tajaan daripada pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan juga LADA.

CATAT MALAYSIA BOOK OF RECORDS

Ihsan Gambar Balai Seni Negara

Arca dasar laut yang berkonsepkan mitos dan legenda Langkawi menjadi tarikan baharu pulau peranginan ini dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas diiktiraf sebagai Most Underwater Sculptures melalui penghasilan 14 buah arca.

Pada majlis sama, Nancy turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sembilan seniman yang menghasilkan arca berkenaan.

Mereka ialah Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Abdul Multhalib Musa, Ahmad Fuad Osman, Dr Zainuddin Abindinhazir@Abdul Rashid, Low Chee Peng, Maxine Xie Xian Xin, Mohd Al Khuzairie Ali, Mohd Radzi Ismail dan Umibaizurah Mahir@Ismail.

LOKASI EKOPELANCONGAN ARCA DASAR LAUT

Ihsan Gambar Balai Seni Negara

Perjalanan ke Pulau Pasir dari Pengkalan Kubang Badak pula tidak mengambil masa lama dengan menaiki bot iaitu lebih kurang 20 minit. Kesemua arca ini dilabuhkan di dua lokasi berbeza dekat Pulau Pasir, dan memberi pilihan kepada anda sama ada mahu melakukan aktiviti selam skuba atau snorkeling.

Sebahagian arca ditenggelamkan di dasar laut, sekali gus mencetuskan suasana misteri tapi mengujakan dalam meninjau arca-arca unik dan kreatif. Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti snorkeling, terdapat juga arca yang dilabuhkan di perairan lebih cetek di kawasan persisir pantai di Pulau Pasir.

Jika anda tidak mahu melakukan aktiviti selam skuba atau snorkeling pun tidak mengapa. Ini kerana anda masih berpeluang melihat sendiri sebahagian arca yang dilihat separa tenggelam. Hanya duduk di bot, anda masih boleh merasai pengalaman arca dasar laut ini tanpa perlu turun ke laut.

Sambil anda meninjau setiap arca, anda juga dapat menikmati keindahan persekitaran yang menghijau, burung-burung berterbangan dan ikan-ikan berenang di perairan.

Melibatkan arca dengan saiz minimum lima kaki setiap satu, antara artis yang terlibat dalam program itu adalah Mohd Al Khuzairie Ali menerusi karya Sang Kelembai Meletus, Mohd Radzi Ismail (Belanga Pecah), Ahmad Fuad Osman (Tugu Antroposen), Umibaizurah Mahir @ Ismail (Permata Hinggap) dan Dr Zainuddin Abindinhazir @ Abd Rashid (Hukuman).

Selain itu adalah karya Tengku Sabri Tengku Ibrahim berjudul Archelon, Abdul Multhalib Musa (Segitiga Langkawi), Low Chee Peng (Curse of Passing) dan Maxine Xie Xian Xin (Mushrooms For MuchRooms To Let).

Penghasilan arca-arca berkonsepkan mitos dan legenda Langkawi ini bermula pada Disember 2021 di Pengkalan Kubang Badak dan kemudian dilabuhkan di sekitar perairan Pulau Pasir pada 2 Jun 2022.

TUMPUAN PELANCONG TEMPATAN & LUAR NEGARA TERBARU

Ihsan Gambar Balai Seni Negara

Nancy  berkata, Pengkalan Kubang Badak dan Tanjung Rhu akan menjadi tumpuan pelancong dengan wujudnya produk ekopelancongan baharu itu seterusnya membantu meningkatkan rantaian ekonomi komuniti setempat.

“Menerusi program ini, diharap dapat terus menyuntik semangat para artis tempatan untuk terus berkarya dan membantu komuniti setempat serta mendidik masyarakat dengan memberi pendedahan tentang objek seni umum.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan pulau pasir dan program permukiman seni pulau pasir juga diadakan selama empat hari bersama pemenang Bakat Muda Sezaman 2021.

“Keseluruhan data ekosistem seni di seluruh negara adalah sebanyak 1,302 dan karya awam sebanyak 286 termasuk arca-arca yang dipetakan di perairan Pulau Langkawi,” katanya

Ia bukan sekadar menjadi aktiviti wajib bagi penyelam skuba, bahkan sesiapa sahaja yang berkunjung ke Langkawi termasuk peminat seni. Di luar kebiasaan, anda tidak lagi hanya menerokai batu karang dan hidupan di dasar laut, tetapi juga menghargai karya agung penggiat seni tempatan.

Maklumat lanjut mengenai program ini, layari laman web www.artgallery.gov.my atau ikuti laman sosial rasmi Balai Seni Negara.

SUMBER: UTUSAN | BHARIAN | MYKMU

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *