Jom bercuti! Apa yang menarik di Taman Tema Genting SkyWorlds?

Masih berfikir tak tahu ke mana nak bercuti bersama keluarga? Untuk anda yang berada di ibu kota dan lembah klang, lokasi kali ini letaknya hanya sejauh 50 kilometer (km) pemanduan sahaja dari Kuala Lumpur. Sudah pasti ramai yang dapat mengagak dimana tempat percutian kali ini yang ingin dikongsikan adalah Taman Tema Genting Skyworlds, Genting Highland, Pahang.

Taman Tema Genting Skyworld ini yang dibuka bermula 8 Februari 2022 yang lalu ini mempunyai keluasan 26 ekar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut. Menurut Ketua Operasi dan Strategi Perniagaan Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit berkata taman tema yang dibina dengan pelaburan lebih US$800 juta (~RM3.3 bilion) itu adalah pencetus perubahan bagi taman tarikan bertema, yang akan meletakkan Malaysia dan Pahang dalam peta pelancongan dunia.

Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa para pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia.

Jom lihat antara yang menarik di Taman Tema Genting Skyworlds, Genting Highland, Pahang ;

#1 Mammoth Fun Zone

Anda boleh mulakan permainan di bahagian Ice Age seperti ‘Mammoth Fun Zone’. Ikan Piranha yang memancutkan air keluar dari mulutnya secara tiba-tiba pastinya memberikan keseronokan dan keriangan buat kanak-kanak. Sekiranya anda menaiki Awana SkyWay Cable Car, anda pastinya dapat melihat patung Mammoth yang berdiri megah.

#2 Alpha Fighter Pilots

Seterusnya, permainan yang anda boleh cuba adalah Alpha Fighter Pilots yang terletak di Andromeda Base. Pastinya permainan ini akan membuatkan bulu roma anda meremang. Pusingan selama 90 saat itu sememangnya pengalaman yang cukup menyeronokkan dan menggerunkan.

Walaubagaimanpun, perlu diingat, anda tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan berharga seperti telefon bimbit untuk tujuan merakam, topi, beg tangan dan minuman ketika menaiki permainan ini.

#3 Blue Sky Carousel

Permainan seterusnya iaitu Blue Sky Carousel pula membawa penumpang berpusing pada tahap minimum. Permainan dengan warna serba kebiruan itu menerima pengunjung yang berusia enam tahun dan keatas. Ketika memasuki gerbang taman tema, pusing sahaja ke sebelah kanan anda sudah berada di ‘dunia’ Rio yang indah dengan kepelbagaian warna dan corak sepanjang berjalan disekitar kawasan itu.

#4 Terraform Tower Challenge

Terletak di Andromeda Base, Terraform Tower Challenge merupakan permainan nombor satu paling menggerunkan di Genting Skyworlds. Ketakutan terasa ketika menaiki permainan ini dengan jeritan para penumpang yang jelas kedengaran dari kejauhan lagi. Bagaimanapun, hanya mereka yang berani mengambil risiko dibenarkan menaikinya. Selain kelajuan turun dan naik yang membuat sesiapa sahaja tidak dapat melupakan permainan itu.

#5 ESD Global Defender

Permainan berikutnya sesuai bagi mereka yang inginkan sesuatu yang berbesa. ESD Global Defender sesuai sebagai tempat untuk anda menjerit sepuas hati. Permainan ini terletak di Central Park akan membawa orang ramai berpusing 360 darjah yang cukup membuatkan sesiapa sahaja menutup mata sewaktu menaikinya. Lebih menyeronokkan, penumpang boleh mengawal kedua-dua sayap pesawat pada sebelah kiri dan kanan seolah-olah sedang menembak musuh.

#6 Night At The Museum: Midnight Mayhem

Paling best, Night At The Museum yang terletak di Central Park memberikan anda pengalaman seolah-olah berada di muzium nyata. Sebaik melangkah masuk sahaja, anda akan mula rasa teruja, namun pada pintu seterusnya perasaan seram dengan bingkai gambar potret manusia bergerak secara tiba-tiba dikelilingi kotak-kotak kayu, bilik kosong, almari, televisyen paparan kabur serta bunyi suara-suara haiwan. Pengunjung juga dapat merasai permainan berpasangan ‘Shot The Monkey’ dengan mengira jumlah mata terkumpul untuk mencari pemenang.

#7 Sid’s Rock ‘N’ Slide

Anda juga boleh mencuba menaiki permainan Sid’s ‘N’ Slide di Rio, untuk merasai kelainan seperti dihanyutkan air. Apa yang menarik disini, anda bebas merakam sewaktu duduk sambil menikmati pemandangan sekitar dengan udara segar. Sid’s Rock ‘N’ Slide juga antara permainan baharu yang dibawakan khas untuk pengunjung di dunia Ice Age.

#8 Boot Camp Training

Antara aktiviti-aktiviti lain yang terdapat di Genting Skyworlds termasuklah Boot Camp Training yang terletak di Andromeda Base. Permainan ini menguji kekuatan fizikal di tahap minimum memandangkan anda akan dipakaikan tali keselamatan yang membantu untuk berjalan dititian, memanjat tembok dan pagar, serta tali gelongsor. Bayangkan sambil menaiki tali gelongsor, anda bukan sahaja dapat menikmati persekitaran yang penuh dengan permainan, malah seolah-olah terbang diawangan.

#9 Independence Day: Defiance

Bagi yang inginkan sesuatu yang paling menyeronokkan, rasailah pengalaman menakjubkan di Independence Day: Defiance di bahagian Central Park. Pengunjung akan dibawa meneroka dunia moden, bulan, alam semesta dan dunia baharu sambil berjumpa lawan iaitu makhluk asing yang pastinya akan menghalang setiap perjalanan anda.

Menariknya, permainan ini tidak memerlukan sebarang tenaga, pengunjung hanya perlu duduk menikmati kota 3D sambil gerakan kerusi seolah-olah anda sedang terbang.

#10 Epic Hummingbird Flyers

Selepas seharian penat menghabiskan masa di taman tema Genting Skyworlds, apa kata luangkan masa di Epic Hummingbird Flyers. Permainan ini terletak di ‘dunia’ Epic, membawa anda berpusing pada tahap minimum sambil menikmati pemandangan dan menghirup udara segar yang pastinya akan menghilangkan rasa lelah dan merehatkan tubuh.

Harga & Ticket Masuk Taman Tema Genting Skyworlds

Harga tiket penuh bagi tiket standard berharga RM189; kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110 cm dan warga emas/orang kelainan upaya (OKU) berharga RM161 dan percuma bagi kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90 cm.

JENIS TIKET
Standard (Ketinggian melebihi 110 cm) RM189
Kanak-kanak (90cm-110cm) / Warga Emas 60 tahun ke atas / OKU RM161
Kanak-kanak (bawah 90cm) Percuma

Info lanjut boleh ke pautan ini : Taman Tema Genting SkyWorlds

Jom ke Taman Tema Genting SkyWorlds dan bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan, selain dapat berseronok, anda juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita.

Rujukan : Genting Skyworlds

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *