Jom Bercuti di Langkawi! Ini Senarai Lokasi Menarik Di Langkawi, Kedah!

Langkawi merupakan salah satu daripada daerah di dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Pulau ini diberi status bebas cukai pada tahun 1987. dan kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia.

Nama Langkawi ialah kombinasi antara “Lang” dan “Kawi”. “Lang” diambil daripada perkataan bahasa Melayu iaitu helang. Ini dapat dibuktikan dengan keberadaan burung-burung helang yang terbang bertebaran di kebanyakan tempat di Langkawi antaranya kawasan Kilim Geopark, Pulau Singa Besar dan seluruh kepulauan Langkawi.

Artikel kali ini akan menyenaraikan lokasi-lokasi menarik di Langkawi yang anda perlu singgah dan kunjungi! Sememangnya Langkawi sebuah pulau yang penuh dengan pelbagai tarikan menarik!

Pantai Cenang

Sumber : Booking.com

Pantai Cenang terletak 18.4 kilometer dari pekan Kuah dan ia merupakan lokasi paling ramai dikunjungi kerana segala kemudahan seperti restoran, hotel serta chalet bajet, pusat hiburan dan kedai cenderamata mudah ditemui di sepanjang lokasi ini.

Pantainya pula berpasir halus umpama kristal berkerlipan ketika disinari cahaya matahari dan dikelilingi oleh pokok kelapa.

Pantai Cenang juga terkenal dengan keindahan matahari terbenam dan di sebelah malamnya pula dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, selagi cahaya neon menyala selagi itulah pantai tersebut hidup dengan pelbagai gelagat pengunjung.

Lokasi : Pantai Cenang, Langkawi
Laman Web : Pantai Cenang

Langkawi Sky Bridge

Langkawi SkyBridge merupakan salah satu daya tarikan yang unik di kompleks kereta kabel Langkawi. Siap dibina pada tahun 2004, titian gantung yang melengkung ini dibina diatas puncak Gunung Mat Chinchang.

Dihubungkan dari stesen puncak, titian ini tergantung setinggi 82m dari tiang tunggal dan jarak dari tanah puncak adalah 100m. Titian ini unik kerana walaupun ia tergantung tetapi ia hanya dipaut oleh tali-tali yang dinat kemas oleh sebatang tiang penahan.

Selain itu, strukturnya yang melengkung dilereng puncak tanpa menjejaskan tumbuhan-tumbuhan semulajadi dibawahnya juga merupakan tarikan senibina cerdik (intelligent architecture) yang mengagumkan.

Panjang titian gantung ini ialah 125m sekaligus menjadikan ia diantara struktur jambatan tergantung melengkung yang terpanjang didunia.

Laman Web : Langkawi Sky Bridge

Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi merupakan salah satu lokasi tarikan utama bagi pengunjung ke pulau Langkawi. Terletak di bahagian hujung selatan Pantai Cenang, Underwater World ini dibina dengan keluasan 60,000 kaki persegi dan menempatkan lebih daripada 4,000 kehidupan marin termasuklah lebih 500 spesis ikan dan hidupan air yang lain.

Underwater World Langkawi juga merupakan lokasi yang mempamerkan beberapa jenis burung, binatang serta hidupan lain yang dijumpai di kawasan hutan hujan tropika, dan juga kawasan lain termasuklah kawasan sejuk antartika. Dilancarkan pada tahun 1995, Underwater World Langkawi ditubuhkan sebagai usaha untuk memberikan pengetahun serta ilmu berkaitan kehidupan marin.

Lokasi : Jalan Pantai Chenang, 07000 Langkawi, Kedah
Laman Web : Underwater World Langkawi

Makam Mahsuri

Sumber : Langkawi

Makam Mahsuri merupakan tempat yang dipercayai di mana Mahsuri binti Pandak Maya dikuburkan di Pulau Langkawi, Kedah.

Ia terletak sekitar 12km dari Kuah dan terletak dalam kawasan kompleks Kota Mahsuri, Mukim Ulu Melaka. Cerita rakyat menyatakan Mahsuri dikuburkan di tempat dia melepaskan nafas terakhirnya selepas dia dihukum bunuh di Padang Mat Sirat.

Makam Mahsuri telah dibina semula dan dilengkapi dengan muzium, teater traditional dan rumah Kedah yang mewakili rumah binaan Langkawi yang popular ketika itu, dikatakan dibina di bekas tapak rumah Mahsuri. Sebuah perigi yang digelar perigi Mahsuri turut terdapat dalam kompleks ini.

Laman Web : Makam Mahsuri

Kereta Kabel Langkawi

Kereta kabel Langkawi terletak di Gunung Mat Chinchang, barat laut pulau Langkawi, Kedah, Malaysia. Kereta kabel ini mula dibuka kepada umum pada 27 Februari 2005 untuk memudahkan pelancong tiba ke puncak gunung yang ketinggiannya adalah 713 meter.

Panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian 500 juta tahun ini memang menarik. Panjangnya 2.2 km dan terpanjang di dunia, mengalahkan kereta kabel di Switzerland.

Asalnya sistem pengurusan kereta kabel ini dikendalikan oleh Langkawi Cable Car. Namun kini, ia diselenggara dan diuruskan oleh Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB), iaitu anak syarikat milik penuh Syarikat Prasarana Negara Berhad. 

Sistem pengangkutan kereta kabel ini dibina dari April 2001 hingga Ogos 2004. Panjang keseluruhan kabel ialah 919.5 meter dan telah mencipta rekod Malaysian Book of Records.

Laman Web : Langkawi Cable Car

Pantai Pasir Hitam

Sumber : TripAdvisor

Pantai Pasir Hitam ialah satu lokasi yang menarik di Langkawi, Kedah, Malaysia. Komposisi geologi utama pantai ini ialah granit, batu kapur, syal, dan batu lanar.

Pelancong sering terpesona dengan pemandangan Pantai Pasir Hitam berhampiran Air Hangat dan Kuala Teriang ini.

Menurut cerita mitos penduduk tempatan pula, seekor ikan duyung telah menukarkan pasir pantai menjadi hitam kerana marah terhadap seorang nelayan yang tidak menunaikan janjinya.  Mitos ini telah diceritakan sejak beberapa generasi yang lalu. Tapi tidak pasti kesahihan mitos ini.

Terdapat juga gerai-gerai makanan, taman permainan kanak-kanak dan kedai-kedai cenderamata sebagai daya tarikan Pantai Pasir Hitam ini.

Gunung Raya

Sumber : Langkawi Info

Gunung Raya yang terletak di Pulau Langkawi, Kedah, Malaysia mempunyai ketinggian 881 meter (2,890 kaki).

Gunung Raya mempunyai hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Di antara Gunung Raya and Gunung Mat Chinchang, terdapat bukit yang memisahkannya dikenali sebagai Bukit Sawar.Gunung Mat Chinchang

Menurut kisah legenda Langkawi, ketiga-tiga gunung ini diceritakan sebagai manusia yang bernama Mat Raya, Mat Cincang dan Mat Sawar. Diceritakan anak lelaki Mat Raya yang berminat untuk menikahi anak perempuan Mat Cincang. Namun niat itu telah menimbulkan rasa tidak senang hati kepada Mat Cincang kerana anak lelaki Mat Raya dikatakan tidak mempunyai perwatakan yang baik.

Walaupun Mat Cincang enggan menerima anak Mat Raya sebagai menantu, namun perkahwinan itu tetap diadakan. Namun begitu, pergaduhan telah berlaku semasa kenduri kahwin anak mereka.

Semasa pergaduhan berlaku, keganasan semua orang telah mengakibatkan periuk belanga dan pinggan beterbangan. Sehinggakan periuk belanga besar yang penuh dengan kuah telah pecah dan kuah lauk habis tumpah di atas tanah. Tempat yang ditumpahi kuah lauk itu dikenali sebagai Kuah dan tempat periuk belanga pecah itu dikenali sebagai Belanga Pecah. Sekawah air panas turut tumpah ke tanah dan tempat itu dikenali sebagai Air Panas.

Pergaduhan dua keluarga itu berterusan sehingga ditenangkan oleh Mat Sawar. Kedua-dua pihak berbaik semula dan memilih untuk menukarkan diri mereka termasuk Mat Sawar ke dalam bentuk sekarang

Dataran Lang

Sumber : Forever Break

Dataran Lang ialah mercu tanda yang paling jelas kelihatan oleh pelawat yang datang melalui jalan laut. Terletak berhampiran Jeti Kuah, tarikan utama di dataran ini ialah patung seekor helang yang bersedia untuk terbang. Ia merupakan patung helang setinggi 12 meter yang menggambarkan helang yang dari mana Langkawi mendapat namanya. 

Mengikut cerita lama, Langkawi memperolehi namanya daripada helang. Dalam Bahasa Melayu Lama, kawi bermaksud perang kemerahan, oleh itu, Langkawi bermaksud ‘Helang perang kemerahan’. 

Dataran ini dilanskap indah dan mempunyai kolam, jambatan, teres tertutup, restoran dan “barrel vault” yang dibuat daripada batu-bata. Dataran ini diterangi dengan indah pada waktu malam dan mempersembahkan permandangan yang indah apabila anda menuju ke pulau pada waktu malam.

Lokasi : Persiaran Putera Kuah, 07000 Langkawi, Kedah

Langkawi Wildlife Park

Terletak di kawasan Kilim dan hanya 10 minit memandu dari Bandar Kuah, Langkawi Wildlife Park meliputi kawasan seluas 5.5 ekar. Di dalam taman ini telah mewujudkan suasana hutan hujan tropika. Ia dibuka kepada orang ramai pada bulan November 2002 dan ketika itu dikenali sebagai ‘Langkawi Bird Paradise’.

Pada mulanya ia mempamerkan pelbagai jenis spesis burung yang berbeza. Walau bagaimanapun, dengan penambahan banyak mamalia, reptilia dan lain- lain, ia telah dinamakan semula sebagai Langkawi Wildlife Park.
 
Kini anda akan melihat lebih 150 spesies yang berbeza daripada haiwan dan burung dari bahagian yang berlainan di dunia termasuk Asia Tenggara, Afrika, Amerika Selatan, Australia, Rusia dan sudah tentu dari Malaysia.

Lokasi : Lot 1485, Kampung Belanga Pecah, Jalan Ayer Hangat, 07000 Langkawi, Kedah
Laman Web : Langkawi Wildlife Park

Galeria Perdana

Galeria Perdana adalah bangunan  dua tingkat, yang menempatkan koleksi yang luar biasa. Lebih daripada 2,500 hadiah dan anugerah yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Galeria Perdana telah ditubuhkan selaras dengan kepercayaan Tun Dr Mahatir bahawa koleksi tersebut adalah kepunyaan rakyat dan Kerajaan Malaysia. Pengunjung akan mempunyai peluang untuk menghargai keunikan dan kepelbagaian pelbagai seni dan budaya yang digambarkan.

Lokasi : Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim, 07000 Langkawi, Kedah

Muzium 3D Langkawi

Sumber : Yuyu Zulaikha

Muzium 3D Langkawi merupakan salah satu tarikan terbaru di Langkawi. Muzium ini yang menakjubkan yang dikenali sebagai Art in Paradise yang terletak di Oriental Village dan dibuka untuk umum pada 31 Januari 2015. Ia dirasmikan pada 7 Februari 2015 oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Terdapat lebih dari 100 karya seni yang dihasilkan oleh 23 artis Korea dan beberapa artis tempatan berbakat. Anda dapat melihat naga keluar dari bingkai gambar, atau tangan seorang lelaki yang keluar dari potretnya untuk bersalaman dengan anda dan banyak lagi.

Ini adalah muzium seni 3D terbesar kedua di dunia dan pastinya yang terbesar di seluruh Malaysia. Luasnya meliputi 3 tingkat di sebuah bangunan dan meliputi luas lantai sekitar 2,000 meter persegi.

Lokasi : Jalan Telaga Tujuh, 07100 Langkawi, Kedah
Laman Web : Muzium 3D Langkawi

Langkawi Geopark

Langkawi UNESCO Global Geopark ialah satu-satunya geopark antarabangsa yang merangkumi hampir keseluruhan Kepulauan Langkawi, Kedah dan merupakan geopark Global UNESCO ke-52 di dunia dan pertama di Asia Tenggara.

Langkawi UNESCO Global Geopark terletak di utara pantai barat Semenanjung Malaysia dan ditadbir sebagai sebahagian Negeri Kedah. Langkawi Geopark merangkumi keseluruhan kawasan Kepulauan Langkawi seluas 478 kilometer persegi termasuk 104 buah pulau termasuk 3 kawasan geoforest iaitu Machinchang Cambrian Geoforest Park, Dayang Bunting Marble Geoforest Park dan Kilim Karst Geoforest Park.

Langkawi Geopark mempunyai sekurang-kurangnya 27 geotapak dalam 3 kawasan utama iaitu Machinchang Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park.

Antara keunikan yang melayakkan Langkawi sebagai geopark ialah geologi sejarahnya yang terbentuk seawal usia Kambria melalui pengendapan Formasi Machinchang yang kini merangkumi sebahagian Pergunungan Machinchang.

Selain itu, terdapat juga penemuan batu jatuh atau ‘dropstone’ di Pulau Tepor, Pulau Ular dan Tanjung Mali yang membuktikan glasiasi pernah berlaku di kawasan Langkawi suatu ketika dahulu.

Tasik Dayang Bunting dan sekitarnya juga unik dari segi geologi sejarah dan lanskapnya yang seolah-olah membentuk wanita yang mengandung selain terdiri daripada marmar yang sebenarnya berkualiti tinggi berbanding tempat lain di dunia.

Kilim Geoforest Park boleh dilawati menggunakan bot.
Pulau-pulau kecil di sekeliling Langkawi juga mempunyai tarikannya tersendiri dari segi lanskap seperti Pulau Jong, Pulau Beras Basah, Pulau Rebak, Pulau Tuba dan Pulau Intan Besar.

Tarikan lain yang bersifat alam semulajadi di Langkawi ialah Pantai Pasir Tengkorak, Air Terjun Temurun, Telaga Tujuh, Pantai Pasir Hitam, Gunung Raya, Kilim dan Teluk Datai.

Lokasi : Kilim River Tourism Jetty, Mukim Kampung Kilim, 07000 Langkawi, Kedah
Laman Web : Kilim Geoforest Park

Skytrex Adventure Langkawi

Sumber : Libur

Langkawi Skytrex Adventure memang merupakan salah satu aktiviti terkenal di Langkawi. Skytrex adalah aktiviti outdoor pertama di Malaysia yang melibatkan pergerakan pokok ke pohon ‘sky-trekking’ di mana anda boleh terbang, berayun, meluncur dan menjuntai di pelbagai rintangan udara yang tergantung di atas Hutan Hujan Malaysia tropika yang rimbun.

Pengalaman yang anda boleh dapat melalui aktiviti di sini sangat unik dan berbeza yang memberikan cabaran kepada para peserta dan menguji keberanian, kesungguhan dan keyakinan untuk menyeberangi jambatan, jambatan gantung, paip, kabel sepanjang jalan sejauh 0.7km di hutan.

Lokasi : Jalan Teluk Yu, Kampung Kok, 07000 Langkawi, Kedah
Laman Web : Skytrex Adventure Langkawi

BACA : 15 Hotel Penginapan Terbaik di Langkawi, Permata Kedah

Bagaimana dengan senarai lokasi menarik ini? Jadi selepas ini anda bolehlah merancang percutian anda di pulau Langkawi ini! Jangan lupa untuk pergi dan kunjungi semua lokasi yang tersenarai di sini.

Terima kasih kerana membaca artikel ini dan jangan lupa untuk kongsikan artikel ini bersama rakan-rakan anda! SEKIAN.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *