Jom Terjah! Senarai Lokasi Eko Pelancongan Negeri Kedah

Negeri Kedah terkenal sebagai Jelapang Padi Malaysia dan sebenarnya bukan sahaja mempunyai sawah padi yang luas, tetapi juga mempunyai pelbagai lokasi pelancongan yang menarik.

Untuk artikel kali ini, lokasi pelancongan yang akan dikongsikan adalah eko pelancongan iaitu lokasi pelancongan alam semulajadi. Ya, negeri Kedah juga mempunyai rupa bentuk alam semulajadi yang indah daripada gunung-ganang sehinggalah ke tasik dan sungai.

Jemput baca artikel kali ini tentang senarai lokasi eko pelancongan di negeri Kedah Darul Aman.

Gunung Jerai

Sumber : FMT

Gunung Jerai setinggi 1,217 meter adalah lambang kemegahan negeri Kedah. Dengan suhu di antara 19 hingga 24 darjah celcius, ia adalah kawasan tarikan pelancong terutama mereka yang ingin bersantai dan menikmati udara daripada kawasan tanah tinggi.

Dengan suhu sedemikian, ia amat sesuai untuk aktiviti rekreasi di kawasan puncak termasuk treking dan berbasikal. Pada abad ke-4 hingga 13, Gunung Jerai digunakan pedagang Parsi, Arab, Cina dan India sebagai panduan berdagang di Kedah.

Banyak kesan sejarah di gunung itu, antaranya Padang Tok Sheikh dan Telaga Tok Sheikh iaitu orang yang bertanggung jawab mengislamkan Maharaja Debar Raja I yang kemudian bergelar Sultan Muzaffar Shah pada 1136.

Jika ke Gunung Jerai, anda boleh menyaksikan bongkah batu besar yang menyerupai sebuah kapal. Mengikut sejarah batu itu berasal dari kapal Maharaja Mergong Mahawangsa yang disumpah Sang Kelembai ketika berlabuh di Pulau Jerai yang juga nama asal gunung berkenaan.

Menyedari kepentingan gunung itu kepada sektor pelancongan, kerajaan negeri membangunkan kemudahan penginapan yang mengandungi 13 chalet, restoran, dewan, masjid dan tapak perkhemahan.

Banyak kawasan air terjun di Gunung Jerai untuk mandi-manda. Selain itu, Muzium Perhutanan boleh dikunjungi untuk melihat khazanah hutan. Jika anda berminat dengan flora dan fauna, pelbagai spesies hidupan boleh ditemui seperti orkid, serangga akuatik, rama-rama, katak, burung, periuk kera dan tumbuhan herba.

Gunung Jerai juga menyimpan khazanah geologi malah formasi gunung itu dikatakan sama dengan Gunung Matchicang yang berusia 300 juta tahun. Bahan-bahan geologi yang menarik termasuk batu-batan berwarna warni, garnit, garnet dan monazit.

Kedudukan Gunung Jerai yang dekat dengan laut menyediakan kawasan pemandangan tanah tinggi yang menakjubkan.

Dari puncak gunung, saujana mata memandang, anda boleh melihat sawah padi yang terbentang luas. Ketika musim menuai, hamparan itu seperti permaidani emas.

Laman Web : Gunung Jerai

Titi Hayun Yan Kedah

Terletak di daerah Yan, Hutan Lipur Titi Hayun merupakan salah sebuah lokasi ekopelancongan menarik di negeri Kedah ini. Lokasi ini dibangunkan dengan pelbagai kemudahan dan chalet untuk memberikan keselesaan buat pengunjung.

Letaknya 3 km dari Pekan Yan atau 40 km dari Alor Setar. Kemudahan rekreasi untuk pengunjung ialah chalet, gerai makanan, tempat letak kenderaan, wakaf, surau, dewan terbuka, chalet, asrama dan tandas. Terdapat denai hutan dan air terjun.

Laman Web : Hutan Lipur Titi Hayun

Hutan Lipur Sungai Sedim

Hutan Lipur Sungai Sedim berada dalam Hutan Simpan Gunung Inas yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah. Terdapat pokok hutan seperti Meranti seraya, Meranti tembaga, Meranti melantai, Kulim, Terap, Keledang dan Bintangor boleh didapati di sini.

Sungai Sedim yang mengalir sepanjang 15 km yang berarus deras serta mempunyai beberapa buah jeram sesuai untuk aktiviti lasak berkayak. Antara 8 anak sungai yang mengalir sepanjang Sungai Sedim adalah Sungai Reyau, Sungai Merbok, Sungai tebuan, Sungai Karangan, Sungai Terona, Sungai Bekui, Sungai Bikan dan Sungai Buloh.

Hutan lipur ini sinonim sebagai tapak perkelahan Di Raja Kedah. Di sini juga kerap berlangsungnya pertandingan kayak arus deras diperingkat antarabangsa.

Antara aktiviti yang unik ialah mendaki gunung melalui denai hutan ke Gunung Inas, Gunung Bintang Utara, Gunung Bintang dan Banjaran Bintang. Selain aktiviti mandi-manda dan berkelah, pengunjung juga boleh berkhemah, merentas hutan, bersiar-siar, berkayak, mendaki gunung dan menikmati keindahan flora dan fauna yang semulajadi.

Antara kemudahan yang disediadakan adalah seperti dewan, surau, tandas, tempat penginapan dan chalet. Antara aktiviti yang anda boleh jalankan disini adalah seperti mandi manda, berkelah, kem motivasi, ‘teambuilding’, ‘Summer Camp’, ‘Water Rafting’, ‘Rock Climbing’, ‘Jungle Tracking’, ‘Flying Fox’ dan pelbagai lagi.

Lokasi : Hutan Lipur Sungai Sedim, 09000, Kulim, Kedah
Laman Web : Hutan Lipur Sungai Sedim

Air Terjun Batu Hampar

Air Terjun Batu Hampar terletak di kawasan Taman Rekreasi Batu Hampar di daerah Bandar Baharu, Kedah. Mungkin ramai yang tidak tahu tentang lokasi ini termasuklah mereka yang tinggal di negeri Kedah sendiri.

Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan disini seperti mandi manda di kawasan air terjun. Selain itu, anda juga boleh menggunakan kemudahan yang tersedia disini seperti tapak perkhemahan, kemudahan untuk aktiviti kem, surau dan tandas awam.

Lokasi : Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah
Laman Web : Air Terjun Batu Hampar

Lata Bukit Hijau

Lata Bukit Hijau terletak di Hutan Simpan Gunung Inas, 42 km dari Kulim dan 45 km dari Baling, Kedah. Lata ini telah diklasifikasikan sebagai sebagai hutan penyelidikan dan pendidikan.

Lata Bukit Hijau ini mempunyai keunikan air terjun 5 tingkat yang amat mempersonakan pengunjung. Selain daripada itu pengunjung-pengunjung berpeluang melalui denai hutan sejauh 3 km melalui hutan dara menuju ke Gunung Inas yang tingginya 1454 meter. Denai-denai hutan ini juga membawa ke Bukit Hijau (8 km), 15 km ke Gunung Bintang Utara (bersempadan Negeri Perak) atau ke Bukit Baubak (15 km).

Kemudahan asas disediakan untuk mandi-manda, berkelah, berkhemah, trekking dan jogging. Kemudahan seperti chalet, gerai makan serta surau juga disediakan. Di sini pengunjung berpeluang bersiar-siar, mendaki gunung, melihat hidupan liar, dan arboretum untuk kegunaan pengunjung.

Terdapat pelbagai spesies flora dan fauna jenis hutan Dipterokarp Tanah Pamah seperti meranti, seraya, meranti tembaga dan meranti melantai. Di antara haiwan yang terdapat di sini ialah gajah, harimau, tapir, kijang, lotong kekabu, tupai, dan pelbagai jenis burung liar.

Lokasi : Hutan Lipur Bukit Hijau
Laman Web : Hutan Lipur Bukit Hijau

Tasik Beris

Tasik Beris merupakan sebuah tasik yang terletak di daerah Sik, Kedah. Tasik ini adalah tasik buatan manusia yang terhasil dari pembinaan empangan Beris. Empangan ini yang bermula pada tarikh 10 Ogos 2000.

Tasik ini mempunyai keluasan seluas 116 kilometer persegi dan siap pada tahun 2004.

Sekarang tasik ini menjadi salah satu tarikan pelancongan untuk pengunjung tempatan dan luar negara untuk datang dan melakukan pelbagai aktiviti. Antara aktiviti yang anda boleh lakukan adalah seperti menaiki bot dan melihat kawasan sekitar tasik.

Selain itu, anda juga boleh melawat ladang anggur yang terletak berhampiran dengan tasik ini. Dikatakan bahawa ladang anggur tersebut merupakan ladang anggur terbesar di Asia Tenggara. Siapa sangka, ladang anggur terdapat disini?!

Lokasi : Tasik Beris, Sik, Kedah
Laman Web : Tasik Beris

Air Terjun Temurun

Air Terjun Temurun terletak di dalam kawasan Taman Eko Rimba Air Terjun Temurun. Terletak di pulau Langkawi, lokasi air terjun ini kira-kira 42 kilometer daripada pekan Kuah. Hutan disekitar air terjun ini adalah jenis Hutan Dipterokarpa Bukit.

Air Terjun Temurun ini berketinggian 30 meter dan ramai pengunjung datang untuk mandi manda, berkelah dan sebagainya bersama keluarga disini. Antara aktiviti yang anda boleh buat adalah seperti mandi manda, berkelah, berBBQ dan juga jungle trekking. Pelbagai kemudahan turut disediakan untuk memberi keselesaan buat pengunjung.

Lokasi : Jalan Datai, 07000 Langkawi, Kedah
Laman Web : Air Terjun Temurun

Pelancongan berasaskan alam semulajadi merupakan salah satu aktiviti yang semakin diminati ramai. Selain itu, aktiviti lasak seperti jungle trekking, berkhemah dan sebagainya menjadi salah satu pilihan untuk pelancongan selain daripada tempat-tempat pelancongan di bandar.

Apa -apapun semoga dengan adanya artikel ini, untuk anda yang mencari tempat-tempat yang sesuai dengan pelancongan eko bolehlah pergi ke lokasi-lokasi yang tersenarai di dalam senarai ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *