Jom Terjah! Senarai Tempat Menarik di negeri Kedah Darul Aman!

Kedah Darul Aman merupakan sebuah negeri terletak di utara Malaysia, memiliki keluasan 9,425 kilometer persegi. Negeri ini terkenal dengan penanaman padi, bersempadan dengan negeri Perlis diutara dan juga negara Thailand. Di bahagian selatan pula negeri ini bersempadan dengan negeri Pulau Pinang dan negeri Perak.

Negeri Kedah boleh diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan, Kereta Api Tanah Melayu dan juga melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Kali ini kami akan berkongsi dengan anda lokasi menarik di sekitar negeri ini yang anda boleh masukkan dalam senarai lokasi yang anda akan kunjungi dalam percutian anda ke negeri ini!

Pekan Rabu, Alor Setar

Pekan Rabu merupakan salah satu lokasi yang terkenal di bandaraya Alor Setar. Merupakan sebuah kompleks perniagaan, pelbagai jenis barangan, produk, kraftangan dan makanan dijual disini oleh peniaga-peniaga yang terdiri daripada kalangan orang melayu.

Anda wajib datang ke sini membeli barangan sekiranya berkunjung ke ibu negeri Kedah ini. Pelbagai barangan boleh didapati dengan harga yang cukup berpatutan!

Lokasi : Jalan Sultan Badlishah, Alor Malai, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari (9.00 Pagi – 7.00 Malam)
Laman Web : Facebook | Pekan Rabu Alor Setar

Tree Top Walk Sg Sedim, Kulim

Terletak di daerah Kulim, Tree Top Walk Sg Sedim ini merupakan sebuah lokasi ekopelancongan di Hutan Simpan Gunung Inas. Tahukah anda bahawa laluan kanopi ini merupakan titian terpanjang di dunia? Dengan ketinggian 50 meter dari tanah dan sepanjang 950 meter, Tree Top Walk Sg Sedim pastinya merupakan lokasi yang wajib untuk anda datang terutamanya mereka yang cintakan alam.

Pelbagai jenis flora dan fauna dapat anda lihat disini. Selain itu, jika anda mahu bermalam disini pun boleh kerana terdapat chalet untuk anda menginap!

Lokasi : Kg Ulu Riau Tree Top Walk Kg Ulu, 09700 Karangan, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari (9.00 Pagi – 5.30 Petang)
Laman Web : Tree Top Walk Sg Sedim

Tanjung Dawai

Tanjung Dawai merupakan sebuah kawasan yang menarik terletak di daerah Kuala Muda. Lokasi ini merupakan antara yang menjadi tumpuan rakyat tempatan kerana mempunyai pantai yang indah dan pemandangan yang menarik.

Selain itu, anda juga boleh ke Arked Tanjung Dawai terletak berdekatan dengan Jeti Tanjung Dawai dimana arked ini menjual pelbagai barangan hasil laut dan produk tempatan yang boleh anda beli!

Lokasi : Tanjung Dawai, 08400 Merbok, Kedah

Pantai Merdeka

Terletak betul-betul berhadapan dengan Tanjung Dawai, Pantai Merdeka merupakan sebuah lokasi yang menjadi tempat lepak dan santai. Sama seperti Tanjung Dawai, Pantai Merdeka terletak di daerah Kuala Muda.

Terdapat sebuah resort disini untuk anda menginap. Sekiranya anda mencara makanan pula, terdapat medan selera di sebelahnya. Pantai Merdeka sememangnya sangat meriah dengan orang ramai diwaktu cuti persekolahan dan cuti umum!

Lokasi : Pantai Merdeka, 08500 Kota Kuala Muda, Kedah

Gunung Jerai

Merupakan titik tertinggi di negeri jelapan padi ini, Gunung Jerai merupakan satu lagi lokasi menarik yang anda boleh kunjungi di negeri ini. Dengan ketinggian 1,175 meter, gunung ini pada zaman dahulu menjadi panduan bagi pedagang-pedagang untuk berdagang ke kawasan ini.

Tahukah anda bahawa pada satu ketika dulu, Gunung Jerai dipanggil sebagai Pulau Serai. Mengapa pulau? Dikatakan pada zaman dahulu, paras laut yang tinggi menjadikan kawasan ini sebagai sebuah pulau! Menarik bukan?

Anda juga boleh menginap disini kerana terdapat sebuah resort disini untuk anda melihat pemandangan indah negeri Kedah!

Lokasi : Gunung Jerai, Gurun, Kedah.
Laman Web : Gunung Jerai

Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang terletak di Merbok, Yan merupakan sebuah muzium yang sangat istimewa kerana mempunyai pelbagai info dan tinggalan sejarah disini!

Terletak berhampiran dengan kaki Gunung Jerai, muzium ini menampilkan pelbagai koleksi artifak dan arkeologi yang menjadi bukti kewujudan peradaban di Asia Tenggara. Pastinya bila anda berkunjung disini jangan lupa untuk bergambar di candi yang sangat bersejarah!

Lokasi : Bukit Batu Pahat, 08400 Merbok, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari (9.00 Pagi – 5.00 Petang)
Laman Web : Facebook | Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Langkawi

Pulau Langkawi. Apa yang perlu diceritakan lagi? Pulau ini merupakan salah satu daerah di dalam negeri Kedah. Menjadi salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia, Langkawi pastinya menjanjikan pengalaman percutian yang sangat menarik!

Tahukah anda, Langkawi sebenarnya terdiri daripada gugusan 99 pulau?! Menarik bukan? Untuk ke pulau ini, anda boleh memilih pengangkutan laut melalui jeti Kuala Perlis, Kuala Kedah atau pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi!

Lokasi : Pulau Langkawi

BACA JUGA : 15 Lokasi Penginapan Terbaik di Pulau Langkawi

Pusat Sains Negara Wilayah Utara

Ya, Pusat Sains Negara bukan sahaja terletak di ibu negara, tetapi juga ada di Kedah! Terletak berhampiran Muzium Padi, Pusat Sains Negara cawangan Utara membawakan pengalaman menarik untuk anda bersama keluarga!

Pelbagai jenis tarikan ilmu sains yang dapat anda dapat disini. Anda boleh bermain pelbagai tarikan disini yang pastinya membuatkan kanak-kanak seronok! Pengalaman disini selama berjam-jam pastinya cukup menarik dan penuh dengan pengetahuan!

Lokasi : Jalan Gunung Keriang, 06570 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari kecuali Jumaat (9.00 Pagi – 5.00 Petang)
Laman Web : Facebook | PSN Wilayah Utara

Muzium Padi

Muzium Padi terletak di kawasan Gunung Keriang, 8 kilometer daripada pusat bandaraya Alor Setar. Dibuka pada tahun 2004, bangunan muzium ini berbentuk seperti Gemai padi. Seluruh kompleks muzium ini terdiri daripada satu bangunan induk dan enam bangunan sampingan di sekelilingnya.

Keluasan seluruh Muzium Padi ini adalah 2,000 meter persegi dan mempunyai 3 aras. Aras pertama menempatkan pameran peralatan sawah., jenis-jenis padi dan sebagainya. Di aras dua pula mengandungi enam galeri yang mempaerkan aktiviti pertanian dari zaman dahulu hingga sekarang. Di aras ketiga pula adalah platform berputar dengan pemandangan mural daripada puncak Gunung Keriang!

Lokasi : Gunung Keriang, 05150 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari (9.00 Pagi – 5.00 Petang)
Laman Web : Muzium Padi Kedah

Menara Alor Setar

Jika anda datang ke bandaraya Alor Setar, antara pemandangan yang anda akan lihat dari jauh adalah Menara Alor Setar. Menara ini merupakan menara telekomunikasi kedua tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 165.5 meter.

Rekabentuk menara ini diinspirasikan daripada serumpun padi yang diikat bersama. Antara yang menarik di menara ini selain menjadi menara telekomunikasi, menara ini turut mempunyai dek pemandangan di ketinggian 88 meter, sebuah restoran berputar di ketinggian 94 meter dan juga tarikan terbaru iaitu Star View iaitu panel kaca di ketinggian 105 meter.

Lokasi : Darul Aman Highway, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari (10.00 Pagi – 10.00 Malam)
Laman Web : Menara Alor Setar

Kolam Air Panas Ulu Legong

Terletak di daerah Baling, Kolam Air Panas Ulu Legong ini merupakan salah satu lokasi yang menjadi satu tempat tumpuan ramai. Terletak kira-kira 10 kilometer daripada pekan Baling, Kolam Air Panas Ulu Legong ini menawarkan pelbagai kemudahan untuk anda bermandi manda bersama keluarga!

Anda juga boleh menginap di chalet yang tersedia disini dan menjelajah sekitar daerah Baling!

Lokasi : Kampung Keda Ulu Legong, 09100 Baling, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari
Laman Web : Facebook | Kolam Air Panas Ulu Legong

Galeri Tsunami, Kota Kuala Muda

Kota Kuala Mudah merupakan salah satu lokasi yang terjejas akibat tragedi Tsunami pada tahun 2004. Lokasi ini merupakan kawasan di Malaysia yang paling teruk terjejas.

Monumen Tsunami dibina dengan menggunakan 26 bot yang rosak akibat tsunami tersebut dan jumlah bot yang diletak pada monumen ini adalah kerana tarikh kejadian tersebut iaitu pada 26 Disember 2004.

Di galeri Tsunami pula terdapat pelbagai infogradik yang disediakan untuk pengunjung. Anda dapat lihat kediaman penduduk yang rosak teruk akibat tsunami. Salah satu lokasi yang anda boleh kunjungi disini, menyimpan pelbagai sejarah mengenai kejadian tsunami.

Lokasi : Kampung Kepala Jalan, 08500 Kota Kuala Muda, Kedah
Waktu Operasi : Setiap Hari (8.30Pagi – 6.00 Petang)
Laman Web : Facebook | Galeri Tsunami

Bagaimana dengan tempat-tempat dan tarikan menarik di Kedah ini? Semua lokasi mempunyai pelbagai tarikan dan sejarahnya sendiri yang membuatkan ramai pengunjung datang.

Dengan adanya artikel ini, anda bolehlah merancang percutian anda di negeri jelapang padi ini dengan mudah! Akhir kata, selamat datang ke negeri Kedah Darul Aman!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *