Pameran ‘Van Gogh Alive’ Di KL Dibuka 17 Disember ini!

Memberikan nafas yang baru di dalam dunia sejarah kesenian, orang ramai berpeluang untuk menghayati pameran bertahap dunia, ‘Van Gogh Alive’ sebuah pameran kesenian yang memaparkan Vincent Van Gogh, tokoh seni lukis yang terkenal. Peminat-peminat lukisan dan hasil seni Van Gogh pastinya tidak boleh lepaskan peluang yang menarik ini!

Buat pertama kalinya, pameran interaktif yang serba baru yang dipersembahkan bersama ‘Van Gogh Alive’ akan membawa para pengunjung melalui perjalanan imersif melalui imaginasi dan karya agung Van Gogh.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), YB Khairul Firdaus Akbar Khan menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan penerbit ‘Van Gogh Alive’ dan ‘The Greatest Artist’ kerana berani menganjurkan pameran secara imersif dan menyediakan platform kepada rakyat Malaysia untuk belajar dan berkembang.

“Ianya membanggakan saya apabila dapat melihat syarikat-syarikat Malaysia berkembang dan mempersembahkan inovasi mereka kepada dunia. Keistimewaan ini menjadi kunci kepada penjanaan permintaan dunia terhadap acara seperti ini dan meningkatkan kemasukan pelancong.

Saya percaya Malaysia mempunyai potensi yang hebat dalam meneraju acara-acara bertaraf antarabangsa dan saya menjangkakan lebih banyak lagi acara sebegini pada tahun 2023.”

Penganjur pameran ini, Meta Doers World Holdings Berhad (MDW) & FrameMotion Studio Sdn. Bhd turut memanfaatkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (A.I.) dibina khas untuk para pengunjung di Malaysia.

Sementara para pengunjung dipersembahkan dengan warna-warni karya Van Gogh secara unik, penambahan baru ini membolehkan mereka mendalami sejarah tokoh tersebut dan mengalami pengalaman sejarah kesenian secara imersif melalui aktiviti-aktiviti interaktif.

Pameran ini mempamerkan hasil seni dramatik dan berwarna-warni gaya ‘post-impressionist’ secara unjuran dari lantai ke siling menceritakan kisah silam tokoh tersebut.

Pengalaman sekali seumur hidup karya seni Van Gogh ini boleh dikunjungi oleh orang ramai bermula dari 17 Disember 2022 hingga 16 Mac 2023. Tiket boleh dibeli melalui pautan www.vangogh.com.my dengan harga RM75 untuk dewasa dan RM68 untuk kanak-kanak dan warga emas, sehingga 16 Mac 2023 ini.

Buat penggemar seni Van Gogh, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri pameran ‘Van Gogh Alive’ di Pavilion Bukit Jalil. Ayuh datang ramai-ramai!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *