Pelabur Hong Kong Cadang Bina Taman Tema Ala Ketenteraan di Melaka

Sebuah syarikat pelaburan dari Hong Kong bercadang membina taman tema ala ketenteraan yang bernilai kira-kira RM200 juta di Klebang di sini pada tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Setri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan wakil syarikat berkenaan kepada pihaknya semalam dan ia akan dibawa kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri serta agensi terlibat untuk penilaian seterusnya.

Beliau berkata projek berkenaan dijangka memberi kelainan pada produk pelancongan di Melaka sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri itu pada masa hadapan.

“Pembinaan taman tema ala tentera ini adalah cadangan awal dan pada pembentangan projek itu semalam saya melihat ia sangat menarik dan ia dicadang dibangunkan di tanah milik Perbadanan Muzium Melaka.

“Berdasarkan cadangan yang dikemukakan, taman tema berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai permainan berasaskan ala ketenteraan untuk kanak-kanak dan dewasa selain muzium serta kenderaan tentera akan dipamerkan juga,” katanya kepada pemberia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bersama penggiat industri korporat, perhotelan dan media yang turut dihadiri Ketua Pegawai PPSPM Datuk Murad Husin.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata kerajaa negeri menyasarkan untuk menarik pelancong berkelas premium khususnya luar negara seperti Dubai dan China melalui lebih banyak pembukaan hotel mewah bertaraf lima bintang di negeri itu pada tahun hadapan.

“Lebih tiga hotel mewah bertaraf antarabangsa yang berpotensi menarik pelancong premium akan dibuka tahun hadapan dan ia memberi satu daya tarikan dan membantu mengembangkan sektor pelancongan di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Murah berkata sebanyak 737,514 pengunjung direkodkan telah menggunakan perkhidmatan bot Melaka River Cruise (MRC) bagi tempoh 1 Januari sehingga 19 Disember.

Beliau berkata jumlah itu menghampiri sasaran 750,000 atau 98.34 peratus pengunjung yang telah menggunakan perkhidmatan berkenaan sepanjang tahun ini.

“Pada tahun hadapan pula, kita meletakkan sasaran sebanyak 800,000 pengunjung dant erdapat pelbagai produk baharu akan diperkenalkan termasuk pembukaan laluan baharu bermula di Pengkalan Rama yang menempatkan ‘River Information Centre’ (RIC) hingga ke lalun Batu Hampar menerusi Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua.

“Selain itu, kita juga sedang menaik taraf pelbagai fasiliti melibatkan MRC termasuk penambahbaikan jeti di Taman Rempah dan Muara Sungai Melaka untuk keselesaan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata Taman Tema Sigua yang akan dibangunkan dengan pelaburan senayak RM8 juga di tapak Pirate Park di sini dijangka dibuka pada Oktober tahun hadapan.

Katanya taman tema tersebut akan menempatkan pelbagai permainan kanak-kanak selain tarikan lain seperti ‘ferris wheel’ dan rumah terbalik.

Sumber : Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *