Tempat-Tempat Menarik di Ipoh, Perak!

Ipoh ialah sebuah bandar raya bukit yang terletak dalam daerah Kinta, dan merupakan Ibu negeri dan pusat pentadbiran Perak, Malaysia. Bandaraya ini terletak kira-kira 200 km ke utara Kuala Lumpur dan selatan Pulau Pinang, merupakan bandaraya ketiga terbesar di bahagian tengah Malaysia selepas Kuala Lumpur.

Ibu negeri bagi negeri Perak ini mempunyai pelbagai lokasi menarik yang menjadi sebab pelancong dalam dan luar negara datang ke sini. Berikut adalah antara lokasi menarik yang terdapat di bandaraya Ipoh.

#1 TAMAN TEMA LOST WORLD OF TAMBUN

Taman Tema Lost World of Tambun ini dikelilingi oleh hutan tropika yang subur. Taman tema ini juga mempunyai mata air panas semula jadi, bukit batu kapur yang berusia 400 juta tahun dan 88 tarikan unik daripada 10 taman. Taman tema ini merupakan lokasi percutian yang sempurna buat keluarga kerana ia memenuhi keperluan pengunjung dari semua peringkat umur.

Terdapat juga beberapa aktiviti yang boleh anda sertai semasa berada di sini seperti 13 High Ropes Course, Ziplining, Berkayak, dan Paddle Boarding. Selain itu, terdapat juga pertunjukan Harimau Siberia di Lost World Tiger Valley. Pertunjukan api juga boleh dilihat di Lost World Hot Springs & Spa. Untuk pilihan menjamu selera, anda boleh ke jalan Lost World Ipoh yang menyajikan pelbagai makanan jalanan tempatan dan snek. Jika anda meminati kopi dan pastri, anda boleh mendapatkannya di kafe Lost World Coffee.

Lokasi : 1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari (Selasa Tutup) 11.00 Pagi - 11.00 Malam
Laman Web : https://www.sunwaylostworldoftambun.com

#2 FUNTASY HOUSE TRICK ART

Bergembiralah bersama keluarga anda di Funtasy House Trick Art. Rumah Funtasy ini telah direka khusus untuk memberikan anda pengalaman yang mengasyikkan dan menghiburkan sepanjang berada di sini. Selain itu, anda boleh berinteraksi dan mengambil gambar yang kreatif dan menarik kerana di sini banyak dipamerkan seni ilusi 3D yang terbesar di Ipoh.

Paling penting, seni interaktif ini merapatkan hubungan keluarga sambil bergambar berlatarkan lukisan ilusi yang menarik. Lokasi ini ialah tempat yang sesuai untuk memupuk kreativiti anak anda sambil berseronok pada masa yang sama. Harga tiket pula berpatutan selain menawarkan layanan yang mesra.

Lokasi : 16, Jalan Market, 30000 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari (Rabu Tutup) 9.00 Pagi - 6.00 Petang
Laman Web : https://funtasy-house-trick-art.business.site/

#3 KUIL SAM POH TONG

Kuil Sam Poh Tong ialah kuil Cina purba yang dibina di dalam gua batu kapur. Kuil ini diasaskan pada tahun 1890 oleh seorang sami dari China yang menjalani sisa hidupnya untuk bermeditasi. Pengunjung perlu menaiki 246 anak tangga untuk melihat karya seni yang mengagumkan seperti Buddha berbaring. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke tempat ini.

Selain itu, terdapat taman yang indah dan kolam penyu di belakang kuil. Anda boleh mengambil gambar di sini serta memberi makan kepada ikan atau melepaskan penyu ke dalam kolam penyu.

Lokasi : Kampung Gunung Rapat, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari (7.00 Pagi - 2.30 Petang)

#4 TAMAN REKREASI GUNUNG LANG

Terletak hanya 5km dari Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang yang indah ini merupakan destinasi yang sesuai untuk aktiviti menaiki bot, memancing, berkanu dan bersantai. Taman rekreasi ini luas dan memberikan suasana tenang. Ia juga menampilkan tasik dan air terjun buatan manusia. Tidak cukup dengan kunjungan penduduk tempatan, taman ini juga menjadi destinasi para pelancong.

Di sini, para pengunjung boleh berinteraksi dengan dengan alam semula jadi dan menjalani aktiviti sukan seperti berkhemah, meredah hutan atau mendaki gunung. Trek laluan untuk jogging juga diturap dengan baik supaya aktiviti larian dan berbasikal dapat dijalankan dengan lancar. Selain itu, tapak perkhemahan, jeti dan lokasi berkelah turut diselenggara dengan baik bagi menarik para pengunjung. Anda boleh menaiki bot ke pulau kecil yang indah kerana di situ terdapat zoo kecil dan taman landskap yang menarik.

Lokasi : Jalan Damai, 30100 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari : 8.30 Pagi - 6.00 Petang
Laman Web : https://www.facebook.com/Taman-Rekreasi-Gunung-Lang-984544778371209/

#5 QING XIN LING LEISURE & CULTURAL VILLAGE

Lokasi tarikan ini penuh dengan warisan budaya dan keindahan alam semula jadi. Ia merupakan tempat yang sesuai untuk berjalan-jalan pada waktu petang sambil melihat koleksi vintaj yang dipamerkan di sini. Selain itu, anda juga boleh mempelajari tradisi dan budaya lama 3 kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Berhampiran dengan lokasi ini, terdapat sebuah tasik indah yang dipenuhi dengan ikan. Dengan hanya RM1, anda boleh membeli satu beg kecil berisi makanan ikan untuk memberi makan kepada ikan. Basikal juga disediakan secara percuma bagi membolehkan para pengunjung menerokai kawasan ini sambil berseronok.

Lokasi : 22A, Persiaran Pinggir Rapat 5a, Taman Saikat, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari (Ahad Tutup) 9.30 Pagi - 5.00 Petang
Laman Web : https://www.facebook.com/qingxinlingipoh/

#6 KUIL GUA KEK LOK TONG

Kuil Gua Kek Lok Tong terletak di dalam gua batu kapur yang besar di belakang Gunung Rapat. Kuil ini mempunyai altar tengah yang menampilkan beberapa patung Buddha serta pelbagai dewa Cina. Selepas anda berjalan melalui gua, anda akan sampai ke taman berlandskap yang cantik. Taman ini pernah memenangi anugerah kerana keunikan dan kecantikan yang dimiliknya.

Selain itu, taman ini juga mempunyai laluan jogging yang merangkumi dua tasik yang indah. Di sini, anda boleh memberi makan kepada ikan dan menyewa basikal atau bot kayuh bersama keluarga. Kuil Gua Kek Lok Tong juga menempatkan salah satu laluan refleksologi kaki terpanjang di Ipoh.

Lokasi : Persiaran Sepakat 3, Tmn Endah Jaya, 31350 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari : 9.00 Pagi - 4.00 Petang
Laman Web : http://www.ipoh-city.com/attraction/Kek_Lok_Tong_Temple/

#7 MUZIUM HO YAN HOR

Ho Yan Hor ialah jenama teh herba Cina yang terkenal dan dipercayai. Teh ini dicipta oleh Dr. Ho Kai Cheong di Ipoh pada tahun 1941. Idea untuk menjual daun teh kering yang dibungkus dalam uncang telah mengelarkan Dr. Ho sebagai “Raja Teh Herba”. Teh ini merupakan ubat selesema yang dirumus khas daripada ramuan herba Cina.

Teh ini juga telah dihasilkan selama lebih 80 tahun sejak daripada penemuannya itu. Di hadapan muzium ini, anda akan melihat replika gerai pertama pengasas teh ini. Manakala di dalam muzium pula, terdapat replika besar yang mempamerkan Dr. Ho Kai Cheong bersama kotak berbalut kertas coklat di tepi basikalnya. Jika dilihat, begitulah cara Dr. Ho menjual tehnya pada zaman dahulu. Beliau berjalan melalui kampung ke kampung, dari Perak ke Pulau Pinang.

Muzium ini juga menyimpan reka bentuk pembungkusan awal dan bahan promosi yang ditulis oleh tokoh ini sendiri bagi tatapan generasi akan datang. Lawatan ke muzium ini boleh membuka mata masyarakat dan mengetahui sejarah disebalik penghasilan teh herba ini.

Lokasi : 1, Jalan Bijeh Timah, 30000 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Hari (Isnin Tutup) 10.00 Pagi - 4.00 Petang
Laman Web : http://hyhmuseum.com/

#8 HAN CHIN PET SOO

Han Chin Pet Soo ialah muzium perlombong bijih timah Hakka pertama di Malaysia. Muzium ini terletak di Bandar Lama Ipoh dan pada asalnya merupakan rumah bagi Kelab Pelombong Timah Hakka. Di muzium ini, antara barang yang dipamerkan ialah artifak, koleksi peralatan melombong serta gambar dari abad ke-19 dan ke-20.

Muzium ini menceritakan kisah sejarah masyarakat Hakka di Ipoh. Banyak usaha telah dilakukan dalam pemeliharaan bangunan ini supaya kekal dalam bentuk asalnya. Terdapat hanya 4 sesi lawatan persendirian di muzium ini dalam masa sehari dan setiap sesi mengambil masa kira-kira sejam. Oleh itu, anda perlu membuat tempahan awal melalui laman web muzium ini supaya aktiviti berkunjung ke sini berjalan dengan lancar.

Lokasi : 3, Jalan Bijeh Timah, 30100 Ipoh, Perak
Waktu Operasi : Setiap Sabtu & Ahad : 9.30 Pagi - 3.30 Petang
Laman Web : https://www.ipohworld.org

Sumber : myweekendplan.asia | Google Image

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *