Wajib Pergi! Ini 7 Air Terjun Paling Cantik dan Menarik di negeri Johor!

Mandi manda dan berkelah di kawasan air terjun sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan terutamanya diwaktu musim panas atau kemarau. Negeri Johor Darul Takzim terkenal dengan kekayaan sumber alam semualajadinya. Keadaan geografinya yang pelbagai menarik ramai pengunjung untuk datang sama ada kawasan pulau, pantai, hutan dan juga air terjun.

Baiklah, dalam perkongsian kali ini, kami akan senaraikan lokasi 7 air terjun yang menarik di negeri Johor. Ada air terjun yang senang aksesnya manakala ada kawasan air terjun yang agak ekstrem laluannya. Semuanya disenaraikan dalam artikel kali ini.

Wajib Pergi! Ini 7 Air Terjun Paling Cantik dan Menarik di negeri Johor!

1) Air Terjun Kota Tinggi

VIA AIRPAZ.COM

Air Terjun Kota Tinggi merupakan salah satu air terjun yang popular di negeri Johor ini. Air Terjun Kota Tinggi ini berada di kawasan Gunung Muntahak iaitu sebuah gunung setinggi 713 meter. Kawasan air terjun ini bertingkat-tingkat dan terdapat tingkat yang tidak boleh mandi. Air terjun disini agak berbeza dengan lokasi yang lain kerana di sini terdapatnya gelongsor dan juga tiga buah kolam air untuk kanak-kanak mandi di kawasan bawah.Anda juga boleh menyewa pelampung disini untuk kegunaan anda dan juga anak-anak anda.

Oh ya , anda juga boleh menginap di resort yang terdapat disini. Dapatlah anda meluangkan lebih banyak masa disini bersama keluarga! Terdapat bayaran masuk dikenakan dan ia agak tinggi berbanding lokasi air terjun lain. Mungkin kerana kemudahan dan servis yang terdapat di kawasan air terjun ini adalah lengkap.

Lokasi : Air Terjun Kota Tinggi, 81900 Kota Tinggi, Johor
Tiket : Dewasa RM8 | Kanak-kanak RM4

2) Air Terjun Pelepah

VIA SENGKANGBABIES.COM

Air Terjun Pelepah terletak di Kota Tinggi dan berdekatan dengan Gunung Muntahak. Untuk pergi ke air terjun ini, anda perlu melalui pintu gerbang Air Terjun Kota Tinggi dan masuk melalui ladang kelapa sawit dan mengikut anak sungai.

Kemudian anda akan melalui Sungai Pelepah. Sungai Pelepah mempunyai banyak tingkat air terjun dan yang paling cantik adalah di tingkat atas. Rupa bentuk muka buminya cukup cantik. Disebabkan untuk ke lokasi ini anda perlu ‘hiking’ terlebih dahulu, jadi tak ramai yang pernah ke sini. Selepas air terjun terakhir, ada sebuah tapak perkhemahan yang anda boleh guna sama ada untuk berkhemah atau berehat.

Lokasi : Air Terjun Pelepah, 81900 Kota Tinggi, Johor

3) Air Terjun Gunung Ledang

VIA MSTAR

Air Terjun Gunung Ledang terletak tidak jauh dari pekan Tangkak, Johor.Terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan disini selain mandi manda, iaitu berkhemah, dan juga jungle trekking. Selain itu, kemudahan seperti tandas dan bilik persalinan juga disediakan untuk memudahkan anda.

Sedikit tips, anda perlu membawa makanan sendiri kerana gerai menjual makanan agak jauh dari lokasi air terjun ini. Oh ya, anda juga boleh menginap di Gunung Ledang Resort untuk menikmati pengalaman yang lebih menarik disini. Bayaran masuk yang dikenakan di Air Terjun Gunung Ledang ini juga tidaklah mahal dan berpatutan.

Lokasi : Air Terjun Gunung Ledang, Tangkak, Johor
Tiket : Dewasa RM1.00 | Kanak-kanak RM0.50

4) Air Terjun Hutan Lipur Gunung Pulai

VIA MAJLIS PERBANDARAN KULAI

Air Terjun Gunung Pulai terletak di dalam kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai. Hutan Lipur Gunung Pulai merupakan pusat pelancongan dan rekreasi yang terdapat di Kulai, Johor. Tarikan hutan lipur ini sesuai untuk aktiviti ‘’jungle-trekking’’ atau mendaki.

Air terjun yang terdapat di Hutan lipur Gunung Pulai juga sangat sesuai untuk anda sekeluarga bermandi-manda. Air terjunnya sejuk dan menyegarkan. Air terjun yang terletak berdekatan dengan Pekan Nanas ini mempunyai kolam mandi semulajadi yang luas. Kawasan ini menjadi tarikan orang ramai terutama keluarga yang inginkan suasana beriadah dan mandi air terjun di bahagian kaki bukit.

Lokasi : Hutan Lipur Gunung Pulai, 81000, Pekan Nenas, Johor

5) Air Terjun Sungai Yong

VIA WATERFALLS OF MALAYSIA

Anda inginkan sesuatu yang agak ekstrem? Anda boleh cuba untuk ke kawasan Air Terjun Sungai Yong. Air terjunnya cukup cantik dan begitu terjaga kebersihannya kerana untuk kesana anda perlu melalui denai-denai dan menyelusuri Sungai Yong.

Untuk ke kawasan air terjun ini, anda perlu melalui kawasan Felda iaitu Felda Ulu Dengar. Lebih seronok, anda akan memanjat tebing-tebing batu yg juram dan tiada tali keselamatan disediakan serta gangguan haiwan-haiwan liar mungkin boleh mengancam keselamatan. Ianya adalah satu pengalaman yang menarik. Jika anda ke sana, jagalah keselamatan dan walaupun perjalanan agak memenatkan tapi bila anda sampai ke kawasan air terjun, segala penat anda akan hilang.

Hubungi : Sas Adventure Malaysia

6) Air Terjun Sungai Bantang

VIA MAJLIS DAERAH LABIS

Air Terjun Sungai Bantang terletak did alam kawasan Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Johor. Hutan lipur ini ditubuhkan pada tahun 1989 dan dimajukan dengan pesatnya pada tahun 1990. Kawasan ini terletak di dalam Hutan Simpan Labis. Pelbagai aktiviti dapat dijalankan antaranya merentas hutan’ jungle traking’, perkhemahan dan perkhelahan.

Terdapat kemudahan asas yang telah disediakan seperti jambatan, tangga, tempat meletak kenderaan, tempat riadah, tandas awam, tempat persalinan pakaian dan sebagainya. Bagi mereka yang gemar berkhemah, kawasan tapak perkhemahan ada disediakan di sekitar hutan lipur ini. Jarak antara Air Terjun Sungai Bantang dengan bandar Segamat iaitu lebih kurang 64 km dan 8 km dari Pekan Bekok.

Lokasi : Air Terjun Sg. Bantang, Bekok, Johor

7) Air Terjun Takah Merluh

VIA MYMOTAC

Air terjun terakhir dalam senarai ini adalah Air Terjun Takah Merluh. ‘Takah Merluh’ (bahasa orang asli) adalah dua nama yang berasingan dimana takah bermaksud bekas air dan merluh pula bermaksud tertidur. Air Terjun Takah Merluh ini ditemui oleh beberapa orang asli yang melihat kawasan air terjun berbentuk takah. Suasana yang nyaman itu mereka tertidur. Berikutan peristiwa tersebut orang asli menamakan air terjun tersebut Takah Merluh.

Air terjun Takah Merluh terbuka untuk semua tanpa dikenakan sebarang bayaran dan sesuai dijadikan tapak perkhemahan. Kemudahan yang disediakan seperti tandas,bilik persalinan, pondok rehat, pondok solat, tapak perkhemahan dan tempat letak kereta. Jarak perjalanan antara Air terjun Takah Merluh dengan pekan Labis adalah sejauh 17km sahaja.

Lokasi : Air Terjun Takah Merluh, Kg. Tenang 85300 Labis, Johor

AKHIR KATA

Apabila anda ke kawasan air terjun ini, sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan, pelbagai perkara anda harus ambil tahu dan juga praktikkan di kawasan air terjun ini. Keadaan cuaca yang tidak menentu akan membuatkan kawasan air terjun agak bahaya untuk berada. Selain itu, kebersihan kawasan alam sekitar perlu diberi perhatian yang sangat tinggi.

Bersihkan kawasan yang anda tinggal, bawa balik sampah-sampah anda. Seterusnya, anda bolehlah mandi manda, dan nikmati keindahan alam ciptaan Tuhan ini. Selamat bercuti di air terjun ya!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *