Melaka dan Riau Bekerjasama Wujudkan Pakej Pelancongan

Kerajaan Melaka akan bekerjasama dengan kerajaaan Indonesia khususnya Wilayah Riau untuk memajukan sektor pelancongan masing-masing menerusi pakej ‘Tukar-Tukar Rasa’ pada tahun hadapan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata antara subsektor pelancongan yang akan diberi penekanan menerusi pakej percutian berkenaan ialah pelancongan kulinari, keluarga dan budaya.

“Menerusi ‘Tukar-Tukar Rasa’ ini kita akan mencari persamaan antara Melaka dan Riau khususnya dalam sektor pelancongan bagi mewujudkan pakej pelancongan menarik.

“Sebagai contoh, Melaka dan Riau mempunyai banyak makanan unik dan sedap yang rata-ratanya belum dirasai pelancong dari kedua-dua destinasi ini… jadi ia akan menjadi satu daripada tumpuan pakej yang kita akan wujudkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rundown Pameran Riau Tourism 2022.

Beliau berkata menerusi pengenalan pakej ‘Tukar-Tukar Rasa’ itu, kerajaan negeri menyasarkan kira-kira satu juta pelancong dari Indonesia terutama dari Wilayah Riau melancong ke Melaka sepanjang tahun hadapan.

Program Rundown Pameran Riau Tourism 2022 selama empat hari bermula Khamis lepas melibatkan 15 gerai pameran produk, perkhidmatan da pakej pelancongan yang ditawarkan pemain industri dari Wilayah Riau.

Muhammad Jailani berkata ia dianjurkan sebagai usaha memperkasakan produk atau program pelancongan negeri Melaka dan kebudayaan luar negara terutama Indonesia.

Beliau berkata ia juga bertujuan meningkatkan jalinan kerjasama antara penggiat sektor pelancongan dan kebudyaan untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pilihan pelancong.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani berkata kerajaan negeri bercadang untuk menganjurkan Tahun Melawat Melaka namun belum memuktamadkan tahun pelaksanaannya.

“Kita akan memulakan persiapan penganjuran Tahun Melawat Melaka bermula tahun hadapan. Setakat ini ektor pelancongan Melaka telah pulih sebanyak 70% peratus dan pada suku pertama tahun hadapan kita jangkakan ia pulih 100%,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *